Rosmah masih gagal singkir hakim Mohamed Zaini

Rosmah (tiga dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin bagi menghadiri prosiding kes untuk menyingkirkan hakim Mohamed Zaini daripada mendengar kesnya.
Rosmah (tiga dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin bagi menghadiri prosiding kes untuk menyingkirkan hakim Mohamed Zaini daripada mendengar kesnya.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor masih gagal buat kali kedua untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar perbicaraan dalam kes pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM7 juta yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Ia selepas Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan isteri bekas Perdana Menteri itu dengan menyatakan permohonan kali kedua Rosmah berdasarkan alasan yang sama dikemukakan dalam permohonan pertamanya.

Selain itu beliau berkata, Rosmah selaku pemohon memasukkan alasan bahawa hakim yang mendengar kesnya merupakan hakim yang sama mendengar kes lucut hak membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes pindaan laporan audit 1MDB.

"Dalam kes lucut hak tersebut, saya menolak permohonan pihak pendakwaan untuk pelucutan hak aset-aset membabitkan harta pemohon sendiri.

“Kes laporan audit langsung tidak ada kena-mengena dengan dirinya, jadi, pemohon perlu dihalang daripada memfailkan perkara yang sama," katanya.

Pada 14 Disember 2021, Rosmah gagal dalam permohonannya buat kali pertama untuk menyingkirkan hakim Mohamed Zaini berhubung kes itu.

Rosmah, 71, memfailkan permohonan berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Geethan Ram pada 2 November 2020 yang antara lain turut memohon kes AMLA dan LHDN yang dihadapinya didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi lain.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.