Warga emas didakwa lakukan persetubuhan luar tabii dengan kucing

Janting (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin.
Janting (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kucing pada 16 April lalu.

Janting Anak Keling, 63, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Mengikut kertas pendakwaan, tertuduh melakukan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii dengan seekor kucing sehingga menyebabkan haiwan itu mati di sebuah kawasan permainan di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini pada jam 4.30 pagi, 16 April lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya yang mengendalikan kes terbabit menjelaskan tiada sebarang jaminan ditawarkan, namun mencadangkan jaminan RM15,000 mengikut budi bicara mahkamah bagi membolehkan tertuduh dijamin.

Janting yang tidak diwakili peguam seterusnya memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan dia tidak bekerja.

Selain itu, tertuduh yang mendakwa berasal dari Sarawak turut memberitahu dia tinggal bersama anaknya dan baharu datang ke negeri ini.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei depan bagi serahan dokumen.