'Peniaga warga asing tidak wujud jika tiada pembeli'

Suasana sekitar Pasar Harian Selayang yang berdepan isu penjaja warga asing yang berlarutan berpuluh tahun lamanya.
Suasana sekitar Pasar Harian Selayang yang berdepan isu penjaja warga asing yang berlarutan berpuluh tahun lamanya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kewujudan peniaga warga asing sekitar Pasar Harian Selayang adalah disebabkan sikap pengguna yang membeli barangan dijual daripada kelompok berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (GPPPKMM), Datuk Mohamad Abdullah berkata, tiada mana-mana pihak yang mempertahankan warga asing berniaga di kawasan itu, malah pihak berkuasa telah memainkan peranan mengikut bidang kuasa masing-masing.

Menurutnya, tanggungjawab menangani isu kebanjiran peniaga warga asing bukan terletak di bahu agensi kerajaan semata-mata, sebaliknya masyarakat juga perlu memainkan peranan mereka.

"Pengguna jangan beli daripada peniaga warga asing. Jika tiada pembeli tidak akan wujud peniaga warga asing,

"GPPPKMM sendiri akan menyalurkan aduan kepada agensi berkaitan jika terdapat isu peniaga haram beroperasi di sini. Jika ada, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan datang sita.

"Pendirian kami jelas, pihak persatuan tidak akan membantu peniaga warga asing, silakan untuk ambil tindakan," katanya pada sidang akhbar mengulas isu warga asing di Pasar Harian Selayang yang berlarutan berpuluh tahun seperti dilaporkan oleh portal berita sebelum tular di media sosial baru-baru ini.

Mohamad (dua dari kanan) menjawab isu peniaga warga asing di Pasar Harian Selayang.
Mohamad (dua dari kanan) menjawab isu peniaga warga asing di Pasar Harian Selayang.

Video berdurasi dua minit 19 saat itu turut membandingkan pentadbiran Menteri Wilayah Persekutuan di bawah Tan Sri Annuar Musa yang melaksanakan Wilayah Bebas Meniaga (WBB) dengan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang didakwa tidak lagi meneruskan inisiatif tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamad menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan WBB masih diteruskan sehingga kini.

"Jumlah pendaftaran peniaga di bawah WBB meningkat sehingga 50 peratus, tiada isu nasib peniaga dan penjaja kecil tidak dibela.

"Semua Menteri Wilayah Persekutuan memainkan peranan hebat dalam membantu dan memberikan perkhidmatan kepada peniaga. Tak patut melaga-lagakan menteri," katanya.

Tegasnya, GPPPKMM mengiktiraf semua peranan dimainkan oleh setiap menteri yang menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan.

"Pada kami, kami melihat perjuangan menteri menjaga peniaga dan penjaja kecil. Aspirasi menteri sekarang (Shahidan) jelas selain mengambil inisiatif membenarkan peniaga berniaga di Dataran Merdeka ketika Ramadan.

"Kami sokong peranan semua menteri. Mereka dilantik oleh rakyat dan jika tak bagus pada pilihan raya akan datang boleh singkirkan mereka," katanya.