SC buat laporan polis terhadap Serba Dinamik

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) membuat laporan polis terhadap Serba Dinamik Holdings Sdn Bhd (Serba Dinamik) kerana mengeluarkan kenyataan tidak berasas dan berniat jahat bertujuan mengelirukan orang ramai selain menimbulkan imej negatif terhadap suruhanjaya itu.

SC dalam kenyataannya pada Ahad memaklumkan, Serba Dinamik menuduh suruhanjaya itu tidak mengikut prosedur dalam melaksanakan tugas sedangkan tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat itu diambil demi kepentingan awam bagi meningkatkan integriti dan kebolehpercayaan penyata kewangan syarikat tersenarai.

“SC ambil maklum bahawa kebanyakan dakwaan Serba Dinamik terhadap SC merupakan isu-isu dan hujahan yang telah dikemukakan dalam pelbagai prosiding yang difailkan olehnya di Mahkamah Tinggi, yang sebelum ini telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

“Oleh yang demikian, SC ingin menyatakan bahawa semua siasatan berhubung perkara ini telah dijalankan selaras dengan kuasa statutori serta proses, prosedur yang dimantapkan, dan menolak sekeras-kerasnya dakwaan Serba Dinamik yang tidak berasas,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Serba Dinamik dan empat ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanannya telah dihadapkan ke mahkamah pada Disember 2021 ekoran pelanggaran undang-undang sekuriti kerana mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Perkara itu berhubung angka hasil Serba Dinamik sebanyak RM6.01 bilion yang terkandung dalam keputusannya yang disatukan bagi suku tahun dan tahun berakhir 31 Disember 2020.

Berikutan representasi Serba Dinamik kepada Jabatan Peguam Negara, peguam negara pada 7 April lalu telah bersetuju agar kesemua pertuduhan tersebut dikenakan kompaun.

Dalam pada itu SC menjelaskan, pelaksanaan kuasa siasatan termasuk serbuan yang dilakukan di pejabat Serba Dinamik pada 18 Mei 2021 adalah wajar dan dilaksanakan dengan niat baik dalam menjalankan kuasa pengawalseliaannya.

“Menurut Seksyen 128 dan 133 Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCMA), SC diberi kuasa untuk memasuki mana-mana premis tanpa waran geledah sekiranya ia mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai kelewatan mendapatkan waran geledah boleh menyebabkan sebarang dokumen atau bukti diganggu, dimusnahkan atau tujuan kemasukan ke premis tersebut mungkin gagal.

“SC juga ingin menyatakan bahawa pegawai penyiasat, pegawai pendakwa dan Timbalan Pendakwa Raya SC tidak pernah mengancam mana-mana kakitangan Serba Dinamik dan kenyataan yang direkodkan daripada saksi-saksi telah dijalankan mengikut proses sewajarnya, diberikan secara sukarela tanpa sebarang paksaan, ugutan atau janji,” menurutnya.