Bubur lambuk tiga kaum

Penduduk berbilang kaum Taman Rasa Sayang bergotong-royong memasak bubur lambuk.
Penduduk berbilang kaum Taman Rasa Sayang bergotong-royong memasak bubur lambuk.
A
A
A

SEREMBAN - Sudah menjadi tradisi bubur lambuk dimasak dan diagihkan kepada orang ramai setiap kali bulan Ramadan.

Uniknya di Taman Rasa Sayang di sini apabila penduduk kaum India dan Cina turut mengambil bahagian memasak bubur lambuk secara bergotong-royong bersama penduduk beragama Islam yang diadakan di rumah salah seorang ahli jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangg (KRT) berbangsa India iaitu A Sathiasilan, 66.

Pengerusi KRT, Zulkifli Muhamed berkata, program yang pertama kali dianjurkan itu bertujuan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk berbilang kaum.

"Program memasak bubur lambuk itu dijalankan serentak di seluruh negara di bawah Jabatan Perpaduan Negara sempena Ramadan.

"Namun di KRT ini kami mengambil inisiatif berbeza dengan membabitkan tiga kaum memasak bubur lambuk yang merupakan salah satu cara untuk memahami agama dan budaya satu sama lain," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, sebagai menghormati kaum India yang tidak makan daging lembu, resipi bubur lambuk itu diolah menggunakan ayam.

Wakil penduduk kaum India, R Kannan, 56, berkata, selama ini dia beranggapan bubur lambuk hanya boleh dimakan orang Islam sahaja.

Katanya, teruja apabila diberitahu KRT menganjurkan program memasak bubur lambuk perpaduan.

Penduduk berbilang kaum Taman Rasa Sayang bergotong-royong memasak bubur lambuk.
Penduduk berbilang kaum Taman Rasa Sayang bergotong-royong memasak bubur lambuk.

"Saya tahu setiap kali bulan Ramadan ada program buat bubur lambuk tapi tak pernah tahu cara membuatnya dan rasanya.

"Bagi saya program sebegini perlu diadakan di semua KRT kerana ia sangat baik dalam merapatkan hubungan berbilang kaum," katanya.

Selain itu wakil penduduk kaum tionghua, Loh Juan Geak, 37, pula tidak menyangka kerana berpeluang terlibat dengan penduduk beragama Islam memasak bubur lambuk.

"Selama ini saya hanya tengok saja orang buat bubur lambuk tapi sekarang saya sendiri turut serta dan paling menggembirakan bila dapat berjumpa dengan jiran-jiran lain.

"Walaupun tinggal dalam satu taman tapi kami jarang berjumpa dan bila ada program sebegini ia dapat merapatkan lagi hubungan kami," katanya.