Gagal seludup rokok, bunga api, hidupan liar bernilai RM9.3 juta

Antara rokok seludup yang berjaya dirampas dalam serbuan tersebut.
Antara rokok seludup yang berjaya dirampas dalam serbuan tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk bunga api, hidupan liar dan rokok bernilai RM9.29 juta dalam tiga serbuan berasingan pada Rabu hingga Jumaat di sekitar Kuala Lumpur dan Teluk Intan, Perak.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, rampasan itu dijalankan di bawah operasi Kontraban, Operasi Letup dan Operasi Bersepadu Khazanah.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama pada Rabu di bawah Op Bersepadu Khazanah, pasukan serbuan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) JKDNKA menahan dua lelaki tempatan di sebuah kediaman di Setapak, Kuala Lumpur dan merampas dua ekor burung spesies murai batu yang dianggarkan bernilai RM160,000.

"Dalam operasi tersebut juga pasukan serbuan berjaya mengesan sebuah stor yang menyimpan sejumlah 186 kotak pelbagai jenis bunga api yang dianggarkan bernilai RM650,000.

"Nilai rampasan bagi operasi ini sebanyak RM810,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pada 21 April lalu di bawah Op Kontraban, CPSK telah melancarkan serbuan kedua di sebuah premis perindustrian di Teluk Intan, Perak yang dikesan menjalankan kegiatan penyeludupan dan pengedaran rokok.

"Pasukan serbuan menahan dua lelaki tempatan dan merampas 13,133 karton rokok putih, 3,300 karton rokok kretek dipercayai diseludup masuk yang dianggarkan bernilai RM6,764,41.

"Selain itu sejumlah wang tunai RM103,000 dan beberapa keping cek serta tiga buah kenderaan turut dirampas dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM6,976,130," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, dalam serbuan ketiga, pihaknya menumpaskan satu sindiket pengedaran rokok dalam serbuan di Tambun Perak.

"Hasil serbuan berjaya merampas sejumlah 3,349 karton rokok putih seludup pelbagai jenama, 253 karton rokok kretek seludup pelbagai jenama yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.4 juta.

"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,"katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sepanjang Januari hingga Jumaat, pasukan CSPK, Pasukan Gerakan Khas (PGK) di bawah JKDNKA berjaya menahan 60 orang suspek yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan menerusi 42 serbuan di seluruh negara.

"Nilai rampasan keseluruhan adalah RM50,345,509," ujarnya.