Wendy curi tumpuan menangi dua acara pada hari terakhir MIAG

Wendy Ng Yan Yee
Wendy Ng Yan Yee
A
A
A

ATLET terjun negara Wendy Ng Yan Yee mencuri tumpuan apabila memenangi dua acara pada hari terakhir Kejohanan Jemputan Kumpulan Umur Malaysia (MIAG) di Ipoh, Perak pada Sabtu.

Dalam acara pertama, juara Sukan SEA 2019 itu bersama Ong Ker Ying mengatasi lawan tunggal mereka Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin-Nur Eilisha Rania Abrial Rajagopal dalam acara seirama 3 meter (m) papan anjal pada kejohanan yang berlangsung di Pusat Akuatik Tuanku Zara.

Wendy-Ker Ying memperoleh 282.30 mata manakala Dayang Nursharzyra-Eilisha Rania mengutip 227.31 mata.

Dalam acara kedua 3m papan anjal individu, Wendy yang berusia 28 tahun menduduki tempat pertama selepas memungut 327.50 mata menewaskan Ker Ying dengan 288 mata manakala penerjun muda Perak, Prisilia Chong Yao terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan 185 mata.

Dalam pada itu, ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong melakar kemenangan kedua pada kejohanan itu menerusi acara 10m platform individu dengan 283.65 mata manakala Eilisha Rania memperoleh 212.40 mata untuk tempat kedua dan tempat ketiga milik Prisilia dengan 203.10 mata.

Semalam, Pandelela bersama pasangannya Nur Dhabitah Sabri menguasai acara 10m platform seirama selepas gandingan itu mengumpul 308.76 mata manakala lawan tunggal mereka Dayang Nursharzyra-Eilisha Rania terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan 233.19 mata dalam acara yang melibatkan hanya dua penyertaan itu.

Sementara itu, skuad kebangsaan mengungguli podium dalam acara 3m papan anjal individu dan seirama lelaki.

Dalam acara seirama, Chew Yi Wei yang bergandingan dengan Ooi Tze Liang mengutip 420.93 mata untuk muncul juara manakala Muhammad Syafiq Puteh-Gabriel Gilbert Daim di tempat kedua dengan 361.47 mata dan Yong Rui Jie-Nurqayyum Nazmi memperoleh 299.19 mata untuk menduduki tempat ketiga.

Bagaimanapun, Muhammad Syafiq berjaya menebus kekalahannya apabila menewaskan Yi Wei dengan mengumpul 434.45 mata untuk merangkul juara acara 3m papan anjal lelaki.

Yi Wei mengumpul 430.40 mata manakala Gabriel menduduki tempat ketiga dengan 420.35 mata.

Penerjun negara akan ke Vietnam dalam misi menyapu bersih semua lapan pingat emas dalam Sukan SEA di Hanoi.

Acara terjun dijadual bermula lebih awal iaitu 8 hingga 11 Mei sebelum edisi ke-31 temasya dwitahunan bermula secara rasmi pada 12 hingga 23 Mei. - Bernama