Asrama maahad tahfiz terbakar, 74 pelajar hilang tempat tinggal

Kebakaran membabitkan asrama menempatkan pelajar Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Rayyaj Bombalai, Tawau.
Kebakaran membabitkan asrama menempatkan pelajar Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Rayyaj Bombalai, Tawau.
A
A
A

TAWAU - Kira-kira 74 pelajar Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Rayyaj Bombalai di sini hilang tempat tinggal selepas asrama didiami mereka musnah terbakar pada petang Sabtu.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, semua pelajar tahfiz berkenaan tiada di asrama sebaliknya berada di masjid untuk menunaikan solat tarawih.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.44 malam.

Katanya, seramai 16 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 18 kilometer dari BBP Tawau.

"Menurut laporan, asrama madrasah jenis tidak kekal yang menempatkan kira-kira 74 pelajar pelajar tahfiz telah terbakar sebanyak 70 peratus dan operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan.

Sebahagian pelajar tahfiz yang hilang tempat tinggal selepas asrama mereka terbakar dalam kejadian di Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Rayyaj Bombalai, Tawau.
Sebahagian pelajar tahfiz yang hilang tempat tinggal selepas asrama mereka terbakar dalam kejadian di Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Rayyaj Bombalai, Tawau.

"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan difahamkan semua pelajar tahfiz berada di masjid di seberang jalan untuk menunaikan solat tarawih," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.17 malam dan ketika ini operasi memadamkan api sepenuhnya sedang dilakukan.

"Operasi memadamkan bara api masih dijalankan oleh pasukan bomba dengan dibantu lima anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Merotai.

"Maklumat terkini akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.