Lari tinggal mercun, bunga api dalam pacuan empat roda

Polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM9,500 yang ditinggalkan penyeludup dalam sebuah pacuan empat roda di jalan Kampung Repek, Pasir Mas pada Sabtu.
Polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM9,500 yang ditinggalkan penyeludup dalam sebuah pacuan empat roda di jalan Kampung Repek, Pasir Mas pada Sabtu.
A
A
A

PASIR MAS - Polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM9,500 yang ditinggalkan penyeludup dalam sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero di jalan Kampung Repek di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, semasa melakukan rondaan anggota unit kereta peronda polis (MPV) telah terserempak dengan Pajero berkenaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan pada jam 9.30 pagi.

Menurutnya, pacuan empat roda itu dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di simpang tiga Tasek Berangan menghala ke Kampung Repek.

"Anggota MPV kemudian mengejar dan mengarahkannya kenderaan itu untuk berhenti.

"Bagaimanapun pemandu Pajero itu telah memecut kenderaannya sejauh 10 kilometer bagi mengelakkan dari dicekup polis," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohd Nasaruddin berkata, Pajero itu kemudian telah berhenti secara mengejut di Kampung Repek dan pemandunya melarikan diri.

"Pemeriksaan lanjut yang dijalankan ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan mercun dan bunga api.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1957," katanya.