'Malaysia perlu ketuai masyarakat antarabangsa selamatkan Palestin'

Antara wakil NGO yang hadir ke Kempen Save Al-Quds di ibu negara pada Sabtu.
Antara wakil NGO yang hadir ke Kempen Save Al-Quds di ibu negara pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia perlu mengetuai masyarakat antarabangsa untuk menghentikan tindakan zalim tentera Israel terhadap Masjid Al-Aqsa dan rakyat Palestin dan seterusnya dibicarakan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sebagai negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia tidak boleh hanya menjadi anggota pasif, sebaliknya perlu bertindak ke hadapan.

"Saya percaya kerajaan Malaysia boleh mengambil langkah ke arah itu sebab jika hanya mengutuk dan mengecam hanya akan diendahkan Israel, mereka akan terus buat.

"Disebabkan ini berkaitan pelanggaran undang-undang dan hak manusia antarabangsa, maka Malaysia sepatutnya membawa isu ini ke peringkat undang-undang antarabangsa.

"Ini boleh dibuat kerana Malaysia ada keabsahan untuk menjadi negara yang mengusulkan satu tindakan undang-undang ke atas Israel.

"Adanya kesepakatan OIC bahawa ini memang isu penjajahan dan perampasan. Jadi, saya kira Malaysia ada sebab yang kuat untuk memimpin hal ini dan akan disokong oleh negara-negara lain serta rakyat Malaysia sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media Kempen Save Al-Quds di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, kezaliman tentera Israel terhadap umat Islam di Palestin mesti dilihat sebagai isu teras demi menjamin keselamatan dan memelihara kesucian Masjid Al-Aqsa yang menjadi sebab kewujudan OIC sejak awal.

"Malaysia juga merupakan anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan ini menambahkan lagi posisi untuk menyuarakan isu tentang kewujudan pelanggaran hak manusia.

"Justeru dengan dua posisi ini, saya merasakan ada potensi Malaysia mengangkat isu khususnya Masjid Al-Aqsa untuk betul-betul diberi perhatian oleh dunia," jelasnya.

Ujarnya, Malaysia juga mempunyai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sangat aktif memperjuangkan isu Palestin.

Justeru beliau yakin kerajaan akan mendapat sokongan penuh daripada rakyat melalui NGO untuk bersama-sama mengangkat isu itu.

"Jadi, ini menguatkan lagi bahawa kerajaan boleh mengisytiharkan inisiatif Malaysia sendiri untuk mempertahankan Masjid Al-Aqsa dengan mengadakan rundingan diplomatik dan memboikot Israel secara terang-terangan.

"Sekarang ini yang membuat kerja ini hanyalah NGO, jadi kerajaan juga mungkin boleh mengesyorkan sekatan seksyen dan ekonomi seperti yang dilakukan ke atas Rusia.

"Kalau boleh buat begitu, saya kira impaknya besar," katanya.