Arak bernilai RM1.6 juta dirampas

Abdul Latif (dua dari kanan) menunjukkan antara minuman keras yang dirampas pada sidang media di Menara Kastam Johor, Johor Bahru pada Sabtu.
Abdul Latif (dua dari kanan) menunjukkan antara minuman keras yang dirampas pada sidang media di Menara Kastam Johor, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas sebanyak 22,400 liter minuman keras tidak bercukai dalam satu tangkapan melibatkan kegiatan penyeludupan di negeri ini, pada Khamis.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, rampasan itu adalah hasil daripada pemeriksaan sebuah lori kargo 10 tan di Kilometer (KM) 13, Lebuhraya Link Kedua (Arah Utara) di sini.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 44 tahun yang merupakan pemandu kepada lori berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Bertindak atas maklumat, Kastam Johor telah mengesan sebuah lori kargo 10 tan yang disyaki membawa muatan tidak bercukai dan pasukan kita mengekori lori itu dari Lebuhraya Sultan Iskandar serta mengarahkannya untuk berhenti.

“Bagaimanapu,n pemandu lori itu terus bertindak agresif dengan memecut laju untuk melarikan diri. Pemandu lori juga beberapa kali cuba mengancam keselamatan pasukan dengan berhenti lalu mengundurkan kenderaannya bagi melanggar kenderaan jabatan.

“Salah seorang daripada pasukan serbuan telah melepaskan tujuh das tembakan untuk memaksa pemandu berkenaan berhenti sebelum dia akhirnya ditahan selepas kira-kira 30 minit dikejar pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan pihak berkuasa terpaksa melepaskan beberapa tembakan bagi menahan sebuah lori dipercayai membawa muatan minuman keras tidak bercukai dalam satu kejadian di Jalan Tuas-Lima Kedai di sini.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebanyak tiga kereta polis terlibat bersama kenderaan kastam terlibat untuk menghentikan lori berkenaan daripada terus melarikan diri.

Kejadian berkenaan turut menjadi tular menerusi sebuah video berdurasi 1 minit 22 saat di laman sosial Facebook yang menyaksikan sebuah lori berkenaan sedang dikejar sebuah kenderaan kastam selain beberapa das tembakan turut dilepaskan.

Dalam pada itu, Abdul Latif berkata, pemeriksaan lanjut dalam lori berkenaan mendapati ia membawa sebanyak 36,708 botol dan tin minuman keras dipercayai baharu diseludup masuk dari negara jiran.

“Pemandu lori tersebut gagal mengemukakan dokumen yang sah berkaitan dagangan yang dibawa masuk itu. Kita anggarkan kesemua minuman keras ini adalah bernilai RM284 dengan nilai cukai dilarikan sebanyak RM1.6 juta.

“Hasil daripada tangkapan ini, kita juga akan melakukan siasatan lanjut untuk mengesan sekiranya terdapat suspek lain atau pun dalang terlibat dengan kegiatan ini,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976 dan Seksyen 136 (a) Akta Kastam 1967.