Kenderaan masuk ke Kedah dijangka meningkat dua kali ganda

Mohd Mahiri (kanan) mengagihkan cenderahati kepada pengguna di Stesen Minyak Petronas Jalan Gunung Keriang pada Sabtu.
Mohd Mahiri (kanan) mengagihkan cenderahati kepada pengguna di Stesen Minyak Petronas Jalan Gunung Keriang pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Jumlah kenderaan yang masuk ke Kedah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dijangka meningkat hampir dua kali ganda berbanding dua tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah, Superintendan Mohd Mahiri Hussin berkata, jumlah peningkatan ketara itu disebabkan masyarakat dapat pulang menyambut Aidilfitri selepas dua tahun tidak dapat meraikan Syawal akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, jumlah kenderaan yang masuk ke Kedah dijangka meningkat daripada sekitar 500,000 kenderaan dua tahun lepas kepada 1.4 juta kenderaan.

"Ini kerana sudah dua tahun kita tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya, jadi apabila kebenaran diberikan tahun ini memang ramai perantau akan pulang beraya di Kedah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program jelajah Op Selamat 18 dan Program "Go To Safety Point" (GTSP) bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di Petronas Jalan Gunung Keriang pada Sabtu.

Mohd Mahiri (kiri) ketika melancarkan program jelajah Op Selamat 18 dan Program 'Go To Safety Point' (GTSP) bersama Petronas di Stesen Minyak Petronas Jalan Gunung Keriang pada Sabtu.
Mohd Mahiri (kiri) ketika melancarkan program jelajah Op Selamat 18 dan Program 'Go To Safety Point' (GTSP) bersama Petronas di Stesen Minyak Petronas Jalan Gunung Keriang pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Mohd Mahiri memaklumkan pasukan khas turut ditubuhkan bagi mengawal dan memantau kesalahan lalu lintas di daerah sibuk dan memiliki kadar kemalangan tinggi berbanding daerah lain.

Beliau berkata, antara daerah yang diberi tumpuan oleh pasukan khas terbabit termasuklah daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kulim dan Kubang Pasu.

"Kita akan bersiap sedia dalam penugasan Ops Selamat sempena Aidilfitri bermula 29 April hingga 8 Mei depan bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan mempertingkatkan penguatkuasaan kepada pengguna jalan raya yang ingkar," jelas.

Mengulas program GTSP, beliau berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama stesen minyak Petronas untuk menyediakan satu kawasan selamat bagi membolehkan orang awam mendapatkan bantuan sewaktu dalam keadaan kecemasan termasuklah kes jenayah.

"Melalui GTSP, pihak stesen minyak akan menyediakan lokasi kepada orang awam yang memerlukan untuk mendapat bantuan sebelum ketibaan polis, malah kakitangan stesen minyak juga telah dilatih untuk mengendalikan situasi ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Mahiri turut menasihatkan ibu bapa memantau kegiatan anak-anak mereka agar tidak terlibat dengan aktiviti samseng jalanan.