Lelaki miliki tatu geng kongsi gelap ditahan

Ricky (kanan) ketika membuat pemeriksaan tatu di tangan suspek.
Ricky (kanan) ketika membuat pemeriksaan tatu di tangan suspek.
A
A
A

SERDANG - Seorang lelaki disyaki ahli kongsi gelap ditahan kerana didapati memiliki cacahan tatu yang mempunyai kaitan dengan satu kumpulan penjenayah terancang dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Bandar Puteri, Puchong, di sini pada Jumaat.

Difahamkan, cacahan tatu 'ikan koi' pada lengan lelaki berusia 28 tahun itu merupakan tanda 'Geng 24', sebuah kongsi gelap terkenal dalam kalangan penjenayah yang mengamalkan upacara tradisi gangster 'sumpah darah'.

Bagaimanapun, lelaki berusia 28 tahun itu menafikan dakwaan terbabit dan memberi alasan mencacah tatu ikan koi tersebut sejak berusia 16 tahun kerana ia erkenal dalam kalangan rakan sebayanya ketika itu.

"Tatu ini yang pertama saya buat semasa berumur 16 tahun di Sabah. Saya asal Sabah, di sana kami tak tahu tentang 'Geng 24' ini.

"Saya memang betul-betul tak tahu ia ada kaitan dengan kongsi gelap. Di Sabah tak ada geng ini, saya datang ke sini untuk bekerja," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi serbuan.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan dan Operasi) Selangor, Asisten Komisioner Ricky Tay Mah Long berkata, seramai 26 anggota dan pegawai daripada Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), JSJ, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor terlibat dalam Op Noda tersebut.

"Lelaki tempatan yang ditahan di bawah Seksyen 56 Akta Pertubuhan 1966 kerana memiliki tatu disyaki ahli kongsi gelap itu merupakan seorang pengunjung pusat hiburan berkenaan.

"Seramai 40 pelanggan diperiksa dalam serbuan tersebut, tindakan saman dikeluarkan kepada pengurus premis kerana tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut.