Teliti semula pembatalan POS: KBS

Ahmad Faizal (dua dari kiri) menyerahkan makanan sahur kepada wakil balai polis pada program Kembara Sahur bersama Funride Riders di Tambun pada Sabtu.
Ahmad Faizal (dua dari kiri) menyerahkan makanan sahur kepada wakil balai polis pada program Kembara Sahur bersama Funride Riders di Tambun pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta supaya Pesuruhjaya Sukan (PJS) meneliti semula pembatalan pendaftaran Persatuan Olahraga Selangor (POS).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu adalah bagi memastikan tindakan yang diambil pada Isnin lalu mengikut peraturan atau undang-undang yang sedia ada dalam PJS.

Menurutnya, isu yang melanda POS bukan satu perkara baharu malah banyak dialami oleh persatuan-persatuan sukan lain di negara ini.

"Ada banyak masalah-masalah begini bukan sahaja POS malah tempat lain seperti Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) di Perak pun ada masalah.

"Tetapi saya sudah mengarahkan PJS untuk meneliti setiap kes dan buat keputusan mengikut peraturan dan undang-undang yang ada dalam pesuruhjaya itu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kembara Sahur bersama Funride Riders di sebuah restoran di Tambun pada Sabtu.

Isnin lalu, PJS mengesahkan pendaftaran POS dibatalkan sekali gus semua pemilihan termasuk kepimpinan terdahulu badan induk itu adalah tidak sah.

Namun, POS merayu campur tangan Ahmad Faizal yang kini mempunyai kuasa untuk membatalkan notis pembatalan pendaftaran berkenaan dengan penyertaan puluhan atlet yang bernaung di bawah POS berkemungkinan tidak dibenarkan menyertai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) September ini.

Menurut Ahmad Faizal, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk mengadakan perjumpaan dengan wakil badan induk terbabit.

"Saya tiada masalah hendak berjumpa dengan sesiapa tetapi perjumpaan itu mengikut keutamaan.

"Jika perkara itu boleh diselesaikan oleh PJS, saya rasa itu juga boleh dilakukan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, skuad badminton negara akan mempamerkan aksi terbaik pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila, Filipina yang akan bermula Selasa ini.

"Kita lihat pemain-pemain berada pada tahap terbaik dan amat bersemangat pada setiap kejohanan

"Namun, saya kira rakyat Malaysia terutamanya peminat sukan badminton perlu faham dan jangan sesekali kita beri tekanan kepada para pemain sehinggakan mereka tertekan sewaktu mewakili negara. Saya harap mereka diberi ruang untuk memastikan kejayaan dapat diraih,” katanya.

Pada kejohanan itu, pemain ranking ketujuh dunia, Lee Zii Jia akan menentang pemain China, Sun Fei Xiang untuk aksi pusingan pertama.

Selain Zii Jia, tiga lagi pemain perseorangan lelaki negara akan menyertai BAC iaitu Liew Daren, Ng Tze Yong dan Aidil Sholeh Ali Sadikin.

Acara beregu lelaki pula ia akan digalas oleh pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; juara Terbuka Jerman, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei; Tee Kai Wun-Man Wei Chong dan pasangan profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.