Lelaki Singapura rancang culik diri sendiri

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd. - Foto Bernama
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Taktik seorang lelaki yang ingin mendapatkan wang daripada anggota keluarga dengan cara merancang penculikannya sendiri terbongkar apabila polis berjaya menahan 12 suspek lain yang turut terlibat.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata lelaki itu merupakan warga Singapura berusia 30-an dan dikatakan dilarikan oleh sekumpulan lelaki di kawasan Setia Indah pada 8 Mac lepas.

“Suspek meminta wang tebusan sebanyak RM500,000 daripada anggota keluarga dan pihak keluarganya telah membayarnya tetapi isteri mangsa yang merupakan warga Indonesia berusia 33 tahun tidak terus membuat laporan polis.

Pada 21 Mac, suspek sekali lagi meminta sebanyak RM170,000 dan ia turut dibayar namun mangsa tetap tidak dibebaskan. Pada ketika itu, barulah isterinya membuat laporan polis,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, susulan laporan itu, polis telah menyerbu sebuah premis di Stulang pada hari sama dan berjaya menyelamatkan mangsa serta menahan lima lelaki dan seorang wanita.

Beberapa siri tangkapan susulan turut dilakukan di dua lokasi berbeza dan berjaya menahan empat lagi lelaki di Bandar Penawar dan dua lagi lelaki di Kluang.

“Kesemua suspek yang merupakan warga tempatan itu berumur antara 20 hingga 49 tahun,” katanya.

Mohd Khalil berkata hasil siasatan lanjut ke atas semua suspek kemudian mendedahkan bahawa perancangan untuk melarikan mangsa dan memeras wang dari keluarga mangsa adalah perancangan mangsa dan isterinya sendiri bagi mendapatkan wang daripada anggota keluarga mereka.

Artikel Berkaitan:

“Susulan itu, lelaki berkenaan telah ditahan dan isterinya pula masih lagi dijejaki dengan bantuan polis Indonesia,” katanya.-Bernama