Mahu Malaysia layan pelarian bagaimana lagi: Hamzah

Hamzah (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima yang terjejas akibat ribut sempena Majlis Berbuka Puasa Perikatan Nasional (PN) Larut di Dewan Majlis Daerah Selama pada Jumaat.
Hamzah (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima yang terjejas akibat ribut sempena Majlis Berbuka Puasa Perikatan Nasional (PN) Larut di Dewan Majlis Daerah Selama pada Jumaat.
A
A
A

LARUT - Malaysia telah memberi layanan sepatutnya kepada pelarian yang masuk ke negara ini termasuk Rohingya, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurutnya, selain menyediakan keperluan makanan, negara juga telah menanggung kos operasi pusat tahanan sebagai tempat tinggal semua tahanan terbabit.

"Mereka mahu kita layan sebagai apa kerana mereka ini adalah pelarian, itu kita kena faham.

"Diberikan makan percuma, tempat tinggal juga percuma, jadi layanan apa lagi yang mereka mahukan," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa Perikatan Nasional (PN) Larut di Dewan Majlis Daerah Selama pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tuduhan beberapa pihak yang menuduh kerajaan memberi layanan buruk kepada pelarian dalam tahanan.

Pada Khamis, Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) dilapor menyalahkan kerajaan atas kematian tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu.

Kumpulan itu mendakwa, tiada sebab untuk memadatkan pelarian di pusat tahanan sementara kerana mereka tidak boleh dihantar pulang atas prinsip 'non-refoulment'.

Hamzah berkata, tindakan dan layanan yang diberikan kerajaan terhadap pelarian selama ini dilakukan bukan atas dasar signatory (penandatangan), tetapi rasa simpati dan sifat kemanusiaan.

"Mereka yang kita tangkap ini kerana tidak ada dokumen yang sah, kita tahan dalam tempoh lama sebab nak mereka tahu, bahawa jika datang tanpa dokumen, maka kita akan letakkan dalam penjara sampai satu tempoh mereka jemu duduk dalam tahanan.

"Jadi kalau rasa nak bebas, tak perlulah lagi datang ke Malaysia dan kalau mereka rasa mereka tidak dilayan dengan elok, sepatutnya mereka baliklah ke negara mereka," katanya.

Setakat ini, seramai 432 tahanan etnik Rohingya daripada 528 tahanan yang melarikan diri sudah ditahan semula.

Jumlah itu menjadikan 96 lagi tahanan masih belum ditemukan.

Mengulas lanjut, Hamzah menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan isu lari dalam tahanan kerana mereka yang terlibat bukanlah dalam kalangan pengganas.

"Saya nak maklumkan kepada orang kampung supaya janganlah bila tengok orang-orang Rohingya seolah-olah mereka itu adalah penjenayah. Mereka semua ini adalah pelarian.

"Kalau rasa nampak seperti orang luar, maklumkan secepat mungkin supaya kita dapat tangkap dan masukkan ke pusat tahanan semula," katanya.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut sebelum itu menyampaikan bantuan kepada 45 keluarga dan 30 peniaga yang terjejas akibat ribut.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama, Mohd Akmal Kamarudin.