FELDA bantu usahawan raih pendapatan kasar RM3.4 juta dengan ternakan arnab

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Program Pembangunan Peneroka (PPP) Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan FELDA diakui mampu memainkan peranan besar dalam membuka peluang dan meluaskan lagi perusahaan bidang ternakan di negeri ini.

Inisiatif badan kerajaan itu juga dilihat sebagai pemacu terbaik dalam usaha membuka pasaran baharu bagi sektor ternakan terutamanya perniagaan arnab pedaging yang dilihat akan mampu menampung permintaan ramai.

Pengurus Ladang Arnab Pasak Rabbitaries, Abdul Halim Hasan berkata, perniagaannya yangdiusahakan bersama keluarga pada 2020 itu ternyata memberikan pendapatan lumayan selain potensi besar untuk dikembangkan.

Menurut beliau, pasaran arnab pedaging mentah ini boleh mencecah 8 tan sebulan dengan harga runcit pasaran RM35/kg dan anggaran pendapatan kasar mampu mencapai sehingga RM3.4 juta setahun.

Abdul Halim
Abdul Halim

Beliau berkata, penglibatannya bersama PPP banyak membantu pihaknya terutama dalam memastikan perniagaannya sentiasa mempunyai stok daging arnab yang banyak. Sehingga kini, Arnab Pasak Rabbitaries telah membekalkan arnab ke 11 buah rancangan FELDA sekitar Johor dan Pahang.

"Sebab itu bila peluang yang FELDA beri kepada kami ini, memang bersyukur sangat kerana senang untuk kita menjual di pasaran lebih luas," katanya kepada Sinar Harian.

Arnab Pasak Rabbitaries juga kini telah menjadi salah satu pengeluar makanan apabila kini menjadi pembekal daging arnab mentah dalam bentuk Karkas dan cincang di sekitar Kota Tinggi, Johor.

No Image Caption

Abdul Halim berkata, proses perniagaannya itu juga dilihat berupaya membantu peserta PPP FELDA yang lain apabila turut membeli hasil ternakan arnab mereka sekali gus memastikan kitaran permintaan itu sentiasa ada. Menurut beliau, dianggarkan pada bulan Ogos ini, Pasak Rabittaries yang telah dilantik sebagai ‘offtaker’ akan membeli sekurang-kurangnya 8 tan/bulan arnab pedaging dari peserta PPP yang sekaligus menjamin pemasaran serta memberi pendapatan tambahan kepada peserta PPP FELDA.

Sementara itu, Pengasas Bersama Aping Barat Rabbitaries, Muhammad Nazri Kasmen berkata, menerusi PPP FELDA, pihaknya turut diberi peluang untuk terlibat dengan aktiviti penternakan arnab pedaging di bawah kategori Badan (Koperasi) yang mana turut dilaksanakan bersama pertubuhan Kami Anak FELDA (KAF).

Beliau berkata, sepanjang terlibat dengan PPP Felda itu juga, pihaknya telah melihat pulangan modal RM4,000 sebulan dengan pertambahan ketara ban arnab berbanding mula menceburkan diri dalam bidang berkenaan.

Muhammad Nazri
Muhammad Nazri

"Alhamdulillah ia semakin berkembang sekarang. Bermula dengan satu ban modal sendiri, masih kosong waktu itu tetapi kini kami telah mendapat kelulusan pakej daripada PPP FELDA empat lagi ban untuk dikembangkan”

Dalam pada itu, menerusi program sama, Muhammad Nazri berkata, perniagaanya kini juga sedang diperluaskan dengan turut beralih ke industri hiliran bagi menambah variasi produk serta permintaan pelanggan.

"Kami juga dah mula nak keluarkan produk hiliran seperti makanan sejuk beku, rendang, unkep, beriani, perap Italian Herb dan sebagainya, malah kita juga turut membuat perkhidmatan penghantaran untuk produk-produk ini di sekitar Kota Tinggi, Johor.

"Memang di peringkat permulaan lagi kita sudah nampak banyak ruang baru kepada peserta sekiranya mahu menceburkan diri dalam aktiviti penternakan arnab. Kalau kita lihat di pasaran pun, kita nak cari daging arnab ni memang susah, jadi orang selalu bertanya.

"Tetapi Insyallah kami di FELDA Aping Barat (Kota Tinggi) ini akan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mewujudkan pasaran baru bagi ternakan arnab pedaging ini," ujarnya.