Polis kesan dua budak tular letak objek tajam atas jalan

Dua kanak-kanak yang dirakam dalam video tular dipercayai meletakkan objek tajam di atas permukaan jalan raya di kawasan pusat bandar Kota Kinabalu.
Dua kanak-kanak yang dirakam dalam video tular dipercayai meletakkan objek tajam di atas permukaan jalan raya di kawasan pusat bandar Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis sedang giat mengesan dua kanak-kanak yang disyaki meletakkan objek tajam di permukaan jalan raya sekitar pusat bandar raya di sini, baru-baru ini.

Perbuatan dua kanak-kanak lelaki itu dirakam sebelum video berkenaan tular di media sosial sejak Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihak polis telah mengambil tindakan untuk mengesan dua kanak-kanak terbabit namun sehingga kini belum ditemui.

"Setakat ini juga, tiada laporan dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan kes kenderaan mereka terlanggar sebarang objek tajam di lokasi yang dimaksudkan.

"Pihak polis Kota Kinabalu juga telah membuat pemeriksaan di jalan-jalan utama dalam bandar raya Kota Kinabalu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zaidi berkata, tindakan undang-undang akan diambil kepada sesiapa saja jika terdapat sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang termasuk mengganggu lalu lintas.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil memberikan maklumat dan boleh disalurkan terus di talian 088-529222," katanya.

Sebelum itu, tular satu video berdurasi 18 saat memaparkan dua kanak-kanak berada di tengah jalan raya dipercayai di kawasan pusat bandar Kota Kinabalu bertindak meletakkan objek tajam di atas permukaan jalan raya berkenaan.