Bersauh tanpa kebenaran, kapal tangki ditahan

Kapal tangki yang ditahan Maritim Malaysia Negeri Johor di perairan Tanjung Sedili Kecil di sini pada Khamis.
Kapal tangki yang ditahan Maritim Malaysia Negeri Johor di perairan Tanjung Sedili Kecil di sini pada Khamis.
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menahan sebuah kapal tangki yang dipercayai bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 15.2 batu nautika Tanjung Sedili Kecil di sini, pada Khamis.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki yang berdaftar dari Zanzibar, Tanzania itu ditahan dalam satu operasi rutin sekitar jam 1.45 petang.

“Kapal sepanjang 64 meter itu dikendalikan lapan kru lelaki warga Indonesia berumur di antara 25 hingga 59 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil semakan terhadap dokumen kapal mendapati nakhoda kapal tangki itu telah gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Nurul Hizam berkata, nakhoda kapal telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Kesalahan itu boleh memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

“Selain melaksanakan Op Jangkar Haram bagi membanteras kegiatan kapal bersauh tanpa kebenaran, kita juga turut terlibat dalam Op Khas Pagar Laut yang mana bagi mengekang jenayah rentas sempadan sempena musim perayaan tidak lama lagi,” katanya.

Justeru, katanya, sebarang makluman berhubung kegiatan mencurigakan di sepanjang perairan negeri ini boleh disalurkan di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian (07 - 219 9401) atau talian kecemasan MERS 999.