KPPK, EU adakan sesi pendengaran tentang isu sawit

Zuraida (tengah) semasa sidang akhbar di kementeriannya di Putrajaya pada Jumaat.
Zuraida (tengah) semasa sidang akhbar di kementeriannya di Putrajaya pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mengadakan sesi pendengaran bersama Kesatuan Eropah (EU) pada 8 hingga 18 Mei ini bagi menjelaskan tuduhan yang dibuat terhadap minyak sawit negara ini.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, selain itu pihaknya juga sedang menanti tarikh untuk bertemu dengan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) berhubung perkara yang sama.

Zuraida menjelaskan, pihaknya mahu menyelesaikan tuduhan yang dibuat oleh kedua-dua pihak dalam masa enam bulan ini.

“Tuduhan-tuduhan yang mereka buat dan juga untuk memberikan penjelasan kepada mereka tentang terma-terma yang mereka tafsirkan berlainan dengan kita,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, dengan adanya libat urus seperti ini, Malaysia dapat memberikan kefahaman kepada mereka dari segi terma yang digunakan berhubung isu sawit.

“Mungkin terma-terma itu ada perbezaan dan ini akan mengurangkan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zuraida turut mengulas laporan bahawa syarikat konfeksionari utama Itali, Ferrero bercadang menghentikan pembelian sumber minyak sawit dari Sime Darby Plantation Bhd (SDP) selepas kastam Amerika Syarikat (AS) mendapati syarikat Malaysia itu menggunakan buruh paksa.

Tegas Zuraida, tuduhan dibuat oleh kastam AS itu adalah tidak benar di samping Sime Darby tidak ada membekalkan minyak kelapa sawit kepada Ferrero.

“Sime darby memang tidak ada membekalkan minyak berunsurkan sawit ini ke Ferrero,” jelasnya.

Baru-baru ini, media melaporkan Ferrero bercadang menghentikan pembelian sumber minyak sawit dari Sime Darby selepas kastam AS mendapati syarikat Malaysia itu menggunakan buruh paksa.

SDP kemudiannya berkata, Ferrero yang dilaporkan merancang untuk menghentikan sumber minyak sawit daripadanya adalah bukan pelanggannya dan sudah lama tidak menjadi pelanggan mereka.