Melaka For Malaysian 1.0 bantu pulih sektor pelancongan negeri

Muhammad Jailani
Muhammad Jailani
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri melalui Tourism Melaka berusaha memulihkan semula sektor pelancongan negeri menerusi pelbagai pendekatan termasuk kempen promosi 'Melaka For Malaysian 1.0.

Exco Pelancongan, Warisan dan kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, dengan adanya kempen tersebut orang ramai berpeluang bercuti di Melaka dengan pelbagai tawaran istimewa termasuk 21 pakej pelancongan menarik dengan harga serendah RM69 seorang.

Menurutnya, bagi merancakkan program itu sebanyak 40 premis penginapan pelancong seperti hotel bertaraf lima bintang, hotel bajet, resort, chalet mahupun inap desa akan memberikan diskaun sehingga 50 peratus kepada pelancong.

Beliau berkata, diskaun sehingga 50 peratus itu juga ditawarkan kepada pelancong bagi menerokai pelbagai lokasi menarik dan bersejarah dengan harga lebih berpatutan.

"Selain itu terdapat tawaran pembelian tiket beli satu percuma satu yang perlu direbut sempena kempen ini.

"Pelancong juga boleh menikmati diskaun sehingga 30 peratus di 30 buah restoran dan kafe yang menyertai kempen Melaka For Malaysian 1.0," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut beliau berkata, diskaun serta baucar yang ditawarkan sudah boleh didapati di kaunter Tourism Melaka bermula 25 Mac lalu dan sehingga 31 Disember depan.

Ujar beliau, kerajaan negeri turut merancang untuk melaksanakan 61 acara pelancongan sepanjang tahun ini dan 12 daripadanya merupakan acara pelancongan utama.

"Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka (BPP JKMM) juga melaksanakan Roadshow Festival Semarak Pelancongan Negeri Melaka di seluruh negara seperti sebelum ini di Negeri Sembilan Johor dan Perak," katanya.

Antara program yang akan memeriahkan kalendar pelancongan Melaka 2022 termasuk penganjuran Karnival Warisan Kita 2022 pada 27 hingga 29 Mei ini, Pesta Bunga Melaka 2022 pada 23 hingga 30 Julai, Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) pada 24 dan 25 September serta Melaka Fiesta pada 31 Disember depan.