Imran Khan tuntut pilihan raya baharu

Imran Khan ketika berucap pada perhimpunan besar di tapak bersejarah di Lahore, Khamis. - Foto EPA
Imran Khan ketika berucap pada perhimpunan besar di tapak bersejarah di Lahore, Khamis. - Foto EPA
A
A
A

NEW DELHI - Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan pada Khamis malam menuntut pilihan raya baharu diadakan ketika berucap pada perhimpunan besar di tapak bersejarah di Lahore.

Ia merupakan perhimpunan mega awam ketiga Imran sejak kerajaannya digulingkan awal bulan ini melalui usul undi tidak percaya di parlimen, disifatkan bekas perdana menteri itu sebagai operasi perubahan rejim yang disokong anasir luar.

Bagaimanapun, Imran tidak memberi sebarang tarikh untuk penganjuran perhimpunan besar-besaran yang dirancangnya di Islamabad bagi memberi tekanan ke atas kerajaan baharu serta meminta penyokongnya menanti pengumuman selanjutnya.

"Anda perlu menunggu saya menyeru anda semua ke Islamabad," katanya, ketika bercakap di monumen Minar-e-Pakistan.

Imran berkata, 'sesiapa yang telah melakukan kesalahan' dalam menjatuhkan kerajaannya boleh menebusnya dengan mengadakan pilihan raya baharu.

"Saya mahu pilihan raya diumumkan secepat mungkin,” katanya.

Beliau meminta pemimpin dan anggota parti Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan untuk menyebarkan erti 'perjuangan kebebasan sebenar', bagi membina sebuah negara yang tidak akan tunduk dengan kuasa luar.

Imran mengulangi kenyataan kerajaannya dijatuhkan kerana beliau mahu melaksanakan dasar luar yang bebas, memerangi Islamofobia di forum antarabangsa, dan menjalin hubungan lebih erat dengan China, Rusia dan negara-negara Islam demi kepentingan Pakistan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, lawatannya ke Rusia pada Februari mendapat kritikan negara Barat, dilakukan untuk faedah ekonomi negaranya.

"Kenapa saya ke Rusia? Saya ke Rusia kerana bekalan gas di Pakistan semakin berkurangan dan kita perlu menandatangani kontrak.

"Rusia menawarkan minyak pada diskaun 30 peratus. Kita perlu mengimport dua juta tan gandum dari Rusia dan diskaun 30 peratus turut ditawarkan," kata Imran. - Bernama