12 jam sesat dalam hutan, tak jumpa jalan keluar

Tuan Rodiah Tuan Soh dipapah pasukan penyelamat sebaik ditemui di kawasan Hutan Hulu Kekabu jam 1.05 pagi pada Jumaat.
Tuan Rodiah Tuan Soh dipapah pasukan penyelamat sebaik ditemui di kawasan Hutan Hulu Kekabu jam 1.05 pagi pada Jumaat.
A
A
A

SETIU - Sepasang suami isteri dilaporkan sesat di Hutan Hulu Kekabu, di sini ketika keluar dari rumah untuk mencari daun palas, pada Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Razli Rapiae berkata, mangsa, Musa Sulaiman, 60 dan isterinya, Tuan Rodiah Tuan Soh, 50 bagaimanapun ditemukan selamat selepas berada lebih 12 jam di hutan berkenaan.

Beliau berkata, mangsa yang keluar dari rumah sekitar jam 9 pagi berjaya memaklumkan kepada keluarganya tidak menemui jalan keluar dari hutan itu sekitar jam 6 petang.

"Kedua-dua mangsa ditemukan jam 1.05 pagi pada Jumaat dalam keadaan keletihan dan lapar pada jarak 5 kilometer (km) dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) yang dibuka berdekatan lokasi berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Jumaat.

Musa Sulaiman (tengah) ditemukan selamat oleh anggota penyelamat jam 1.05 pagi pada Jumaat.
Musa Sulaiman (tengah) ditemukan selamat oleh anggota penyelamat jam 1.05 pagi pada Jumaat.

Beliau berkata, bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 9.22 malam sebelum segera mengerahkan anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, usaha pencarian mangsa digerakkan oleh seramai 56 anggota penyelamat terdiri daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), pejabat hutan serta penduduk kampung.

"Usaha pencarian mangsa telah dimulakan jam 6 petang di sekitar kawasan hutan itu oleh penduduk kampung selepas mangsa berjaya memberitahu keluarganya mereka tidak menemui jalan keluar dari hutan itu.

"Bagaimanapun mangsa masih belum ditemui dan keluarga membuat laporan polis sekitar jam 7.45 malam," katanya.

Menurut Mohd Razli, difahamkan mangsa merupakan penduduk tempatan yang sudah biasa mencari daun palas di lokasi itu sebelum ini.

"Sudah jadi kelaziman bagi pasangan suami isteri ini mencari daun palas di kawasan hutan ini untuk kegunaan selain diagihkan kepada jiran terdekat.

"Bagaimanapun, kali ini mereka memberitahu tidak berjaya menjejaki jalan masuk untuk keluar dari kawasan hutan tersebut," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Setiu menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).