Keputusan Mawar Karim ketepi penghakiman ingkar 29 Julai

Mawar ketika mengadakan sidang akhbar di Hotel Chaseman, Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
Mawar ketika mengadakan sidang akhbar di Hotel Chaseman, Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
A
A
A

BANGI- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 29 Julai untuk keputusan permohonan usahawan Mawar Abdul Karim, bagi mengetepikan penghakiman ingkar yang diperoleh usahawan Nabil Mat Jahya supaya wanita itu membayar balik pinjaman persahabatan berjumlah RM720,000.

Peguam Datuk Mohd Imran Tamrin mewakili Mawar selaku defendan berkata mahkamah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak mengenai permohonan berkenaan.

"Mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak untuk memfailkan afidavit jawapan dan balasan sebelum tarikh keputusan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding dalam kamar di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah.

Peguam Nik Zarith Nik Moustpha mewakili Nabil yang turut hadir pada prosiding itu, mengesahkan mengenai permohonan dan tarikh keputusan itu.

Pada 11 Januari lalu, Nabil selaku plaintif diberi kebenaran oleh mahkamah untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap Mawar, selepas usahawan itu gagal memasukkan kehadiran dalam saman yang difailkan plaintif.

Berdasarkan penghakiman ingkar itu, defendan (Mawar) perlu membayar balik pinjaman yang telah diberikan plaintif kepada defendan berjumlah RM720,000.

Menerusi carian sistem mahkamah, Mawar dalam afidavit sokongan untuk mengetepikan penghakiman ingkar kehadiran, berkata beliau tidak pernah sama sekali menerima salinan termeterai penghakiman ingkar itu daripada plaintif atau peguamnya, pada setiap masa yang material sehingga notis pelantikan peguam bertarikh 14 April lalu difailkan oleh peguamnya.

"Saya telah mengambil tindakan segera untuk melantik dan mendapatkan nasihat peguam berkaitan kes ini, setelah saya mendapat khabar berita daripada rakan-rakan dan juga media massa sejak beberapa hari lalu, yang mengatakan bahawa kononnya saya sedang berhadapan dengan risiko kebankrapan.

"Saya juga dinasihati oleh peguam, bahawa penghakiman ingkar kehadiran tersebut masih lagi boleh diketepikan memandangkan saya mempunyai pembelaan yang bermerit terhadap tuntutan plaintif ke atas saya,” kata Mawar dalam afidavit sokongan itu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Nabil menuntut wang berjumlah RM720,000 yang telah diberikan kepada defendan, selaras dengan Perjanjian Pinjaman Persahabatan yang telah dipersetujui dan ditandatangani oleh mereka.

Nabil mendakwa dalam perjanjian itu defendan antaranya perlu membayar semula RM100,000 sebelum atau pada setiap 1 hari bulan selama enam bulan berturut-turut bermula 1 Jun 2021, manakala bagi bulan terakhir iaitu bulan ketujuh, Mawar hendaklah membayar RM120,000 sebagai bayaran terakhir terhadap pinjaman wang tersebut.

"Bagaimanapun, sehingga ke tarikh pemfailan writ dan pernyataan tuntutan ini, defendan gagal untuk membayar balik keseluruhan pinjaman itu seperti yang termaktub di dalam perjanjian tersebut, walaupun beberapa kali dituntut dan diminta oleh saya atau wakil saya,” katanya. - Bernama