Warga Indonesia didenda RM7,000 miliki kad pengenalan palsu

Seorang wanita warga Indonesia didenda RM7,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Khamis atas pertuduhan memiliki kad pengenalan palsu. - Gambar hiasan
Seorang wanita warga Indonesia didenda RM7,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Khamis atas pertuduhan memiliki kad pengenalan palsu. - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Seorang wanita warga Indonesia didenda RM7,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan memiliki kad pengenalan palsu, bulan lepas.

Majistret Jesseca Daimis memerintahkan Rosyidah Hanafi Salleh, 45, membayar denda itu atau menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Rosyidah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dua kali setelah tidak memahaminya ketika bacaan pertama.

Mengikut pertuduhan, Rosyidah didakwa menggunakan kad pengenalan palsu atas nama 'Rosyidah Hanafi' sebagai pengenalan diri di kaunter Bahagian Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak di sini, kira-kira jam 10.15 pagi, 18 Mac.

Pertuduhan dibuat di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan-peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Hisam Saruddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rosyidah sebelum itu merayu hukuman ringan atas alasan tinggal seorang diri di sini dan memohon maaf atas kesalahannya serta meminta dibenarkan pulang ke negara asal secepat mungkin.

Mohd Hisam bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan kerana kesalahan dilakukan amat berat, berkaitan kepentingan awam dan keselamatan negara selain untuk memberi pengajaran kepada orang ramai.

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. - Bernama