Mohammad Alif sudah kembali ke pangkuan keluarga

Laporan Sinar Harian berhubung kehilangan Mohammad Alif Mohd Nizamshah Nortaraki.
Laporan Sinar Harian berhubung kehilangan Mohammad Alif Mohd Nizamshah Nortaraki.
A
A
A

SEREMBAN - Anak sulung daripada tiga beradik yang sebelum ini dilaporkan keluar rumah sejak 9 April lepas telah kembali ke pangkuan keluarganya.

Mohammad Alif Mohd Nizamshah Nortaraki, berusia 17, ditemui dalam keadaan selamat oleh pihak polis Butterworth,Pulau Pinang pada Rabu.

Menurut ibunya, Zarina Ahmad, 36, anaknya dipercayai bekerja di sebuah restoran di Pulau Pinang bermula jam 8 malam hingga 8 pagi sejak 12 April lepas selain tinggal di hostel pekerja yang berada di tingkat satu restoran tersebut.

"Alhamdulillah anak saya sudah ditemui semula dalam keadaan selamat, sihat dan berisi badannya.

"Mungkin ada salah daripada saya dan ayahnya yang mana kami sama-sama terlepas pandang yang membuatkan anak kami jadi berkecil hati dan membawa diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, basikal yang dibawa anaknya ketika keluar rumah dua minggu lepas diletakkan di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Senawang sebelum menaiki kereta api itu menghala ke Kuala Lumpur seterusnya bekerja di Pulau Pinang.

"Saya belum sempat berbual panjang dengan dia lagi bagi mengetahui lebih lanjut berhubung perkara ini, bagaimanapun ribuan terima kasih semua pihak yang tidak putus-putus membantu mengesan anak saya.

"Semoga ALLAH membalas segala kebaikan semua yang telah sama-sama membantu saya sekeluarga," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang ibu bimbang keadaan keselamatan anak lelakinya Mohammad Alif Mohd Nizamshah Nortaraki, berusia 17 tahun yang hilang sejak 9 April lalu.

Anak sulung daripada tiga beradik itu mempunyai masalah kemurungan dipercayai keluar seorang diri dengan menaiki basikal.