Hafazan secara maya 24 jam bakal catat Malaysia Book of Records

PU Hafiz
PU Hafiz
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) bakal mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBR) menerusi hafazan secara maya 24 jam tanpa henti sempena Ijtimak Huffaz Selangor ke-15 pada Ahad ini.

Pengerusinya, Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, seramai 30 huffaz mewakili 30 institusi tahfiz di negeri ini mengambil bahagian dan akan memperdengarkan bacaan hafazan mereka secara maya di Wisma Hafiz di Klang.

"Bacaan hafazan 30 juzuk ini bermula pada jam 4 pagi Sabtu dan berakhir pada jam 4 pagi Ahad," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Muhamad Hafiz atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Hafiz berkata, wakil MBR dan pakar huffaz yang dilantik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan membuat pemantauan dan semakan bacaan sepanjang majlis itu berlangsung.

Katanya, penganjuran Ijtimak Huffaz Selangor pada tahun ini dianggap sesuatu yang istimewa kerana mendapat pengiktirafan MBR.

"Kami bersyukur kerana majlis ini tercatat dalam MBR dan ia sudah tentu merupakan satu pencapaian membanggakan bagi mengangkat martabat institusi tahfiz," ujarnya.

Selain itu, PU Hafiz berkata, program tahunan yang mengumpulkan pelajar tahfiz itu turut menganjurkan #SelangorQuranHour yang dijangka dihadiri seramai 2,000 tetamu bergilir-gilir secara bersemuka.

Menurutnya, EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughn dijadualkan hadir pada majlis penutupan ijtimak itu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini jam 3 petang pada Ahad.

"Pada majlis penutupan ini juga, kita turut meraikan sembilan pelajar yang berjaya lulus sijil syahadah tahfiz dan penyampaian anugerah tokoh huffaz Selangor serta pelajar cemerlang Fast Track SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun lalu," katanya.