Aidilfitri lebih bermakna buat Rena Ajmal dan lima anak

A
A
A

Rena Ajmal (tiga dari kanan) menerima sumbangan wang tunai daripada Norazian (dua dari kanan) di rumahnya di Kampung Tengah Baru 13.
Rena Ajmal (tiga dari kanan) menerima sumbangan wang tunai daripada Norazian (dua dari kanan) di rumahnya di Kampung Tengah Baru 13.

Tidak mudah baginya untuk membesarkan lima anak yang masih bersekolah dengan status sebagai ibu tunggal.

Tanpa wang, bagaimana hendak membayar kos persekolahan anak-anak dan menyediakan keperluan makan minum mereka.

Itulah yang dilalui penerima sumbangan daripada LBS Bina Group Berhad, Rena Ajmal Mohd Padzil, 47, yang mengakui hidupnya dilanda badai ketika mula bergelar ibu tunggal pada 2016.

"Ketika itu saya tidak mampu menyekolahkan anak-anak. Saya maklumkan kepada pihak sekolah dan mereka minta saya bersabar sementara pihak sekolah membantu untuk mengutip derma.

"Keluarga juga membantu dan sentiasa memberikan kata-kata semangat agar anak-anak saya terus ke sekolah walaupun hampir setiap hari mereka pergi tanpa duit belanja.

"Saya berdoa setiap hari dan alhamdulillah kemudiannya bantuan datang sedikit demi sedikit termasuk daripada ketua kampung, pihak masjid dan kawan-kawan," katanya yang mempunyai anak-anak berumur antara 10 hingga 16 tahun.

Norazian (kanan) dan kakitangan LBS bergambar bersama Rena Ajmal dan anak-anak selepas membeli-belah.
Norazian (kanan) dan kakitangan LBS bergambar bersama Rena Ajmal dan anak-anak selepas membeli-belah.

Rena Ajmal ditemui pada majlis penyampaian sumbangan LBS Bina Group Berhad menerusi program Iftar Untukmu yang diserahkan oleh Penolong Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat, Media dan Digitalnya, Norazian Abdul Aziz di Lorong Empat, Kampung Tengah Batu 13, Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Program dengan kerjasama Sinar Harian itu turut dihadiri beberapa kakitangan pengurusan kedua-dua belah pihak yang disambut mesra Rena Ajmal dan anak-anaknya.

Utamakan pendidikan

Bercerita lanjut, Rena Ajmal mengakui kehidupan sebagai ibu tunggal tidak semudah yang disangka. Namun, dalam kepayahan itu dia tetap berazam mahu melihat kejayaan anak-anaknya pada masa depan.

Katanya, dia sentiasa meletakkan rasa tanggungjawab yang tinggi untuk memastikan anak-anaknya itu tidak tercicir dari segi pelajaran. Dia bersyukur kerana mereka terus membesar dan mengerti makna kesusahan.

"Saya mendepani cabaran sukar dalam membesarkan anak-anak ketika itu, semua pekerjaan saya lakukan termasuklah mengambil upah bawa budak sekolah guna kereta ayah.

"Dengan kegigihan saya, anak-anak tidak seorang pun berhenti sekolah malah saya sentiasa berpesan agar mereka terus belajar dan jangan tinggalkan ilmu agama kerana kedua-duanya sama penting," ujarnya.

Acara membeli-belah kelengkapan sempena Aidilfiri untuk lima beranak itu selesai sebelum berbuka puasa.
Acara membeli-belah kelengkapan sempena Aidilfiri untuk lima beranak itu selesai sebelum berbuka puasa.

Namun di sebalik kejayaan memastikan anak-anak terus mendapat pendidikan, Rena Ajmal akui terpaksa mencatu perbelanjaan meskipun berat hatinya untuk berbuat demikian.

“Saya mahu memastikan impian untuk melihat anak-anak dapat menamatkan persekolahan tercapai.

"Kami meneruskan hidup ketika ini dengan bantuan zakat berjumlah RM500 dan pendapatan sebagai pengasuh sebanyak RM400 sebulan. Dengan jumlah inilah saya membesarkan mereka.

"Impian saya agar anak-anak dapat mengutamakan pelajaran dan mampu tamatkan pengajian sekurang-kurangnya di peringkat sekolah menengah," katanya.

LBS laksana tanggungjawab

Sementara itu menurut Norazian, sumbangan yang dihulurkan LBS Bina Group Berhad kepada keluarga Rena Ajmal adalah satu tanggungjawab sosial (CSR) syarikat berkenaan kepada golongan yang memerlukan.

Katanya, menerusi program Iftar Untukmu, ibu tunggal dan anak-anaknya itu menerima bantuan wang tunai, dibawa membeli-belah kelengkapan pakaian baharu untuk menyambut Aidilfitri serta diraikan pada majlis berbuka puasa di sebuah restoran.

No Image Caption

Selain itu, syarikat pemaju hartanah berkenaan turut menganjurkan pelbagai program CSR setiap tahun termasuk program Jejak Wira pada tahun lalu dan majlis berbuka puasa dengan anak yatim pada tahun ini.

Kata Norazian, mereka juga sedang rancak mengadakan Kempen Raikan Rezeki pada tahun ini dengan cara menjejaki golongan yang memerlukan dan ia tidak hanya tertumpu pada bulan Ramadan semata-mata.

"Kita perlu faham dan sedar tidak semua orang bernasib baik, jadi LBS tetapkan satu matlamat untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

“Kami juga akan cuba sejauh mana yang boleh kami lakukan untuk membantu," katanya.

Tambahnya, selain bantuan kepada komuniti, syarikat itu turut memberi fokus kepada tiga faktor lain seperti kesihatan, pendidikan serta persekitaran termasuk mengadakan beberapa siri program bagi mencapai objektif penganjurannya setiap tahun.