Polis buru 130 tahanan masih bebas

Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memburu 130 tahanan yang masih bebas selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau,dekat sini, pada Rabu.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memburu 130 tahanan yang masih bebas selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau,dekat sini, pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan semula seramai 398 tahanan yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau,dekat sini, pada Rabu dengan 130 tahanan yang masih bebas sedang diburu pihak berkuasa.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, usaha mengesan 130 tahanan yang masih bebas dengan tambahan bantuan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Anjing Pengesan (K-9) diteruskan pada Khamis.

Beliau memberitahu, sekatan jalan raya (SJR) dan operasi mengesan tahanan turut diperluas melibatkan pegawai dan anggota polis Kedah, Pulau Pinang dan Perak serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Setakat ini, seramai 398 tahanan telah ditemukan semula itu meliputi 192 lelaki, 75 wanita, 63 kanak-kanak lelaki dan 60 kanak-kanak perempuan.

"Jumlah tahanan masih bebas pula membabitkan 99 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, lima kanak-kanak perempuan dan lima kanak-kanak lelaki,"katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, seramai 448 tahanan telah dipindahkan ke empat depot tahanan lain sehingga jam 12 tengah malam.

Katanya,seramai 144 tahanan dipindahkan ke Depot Semenyih, Selangor,diikuti Depot Machap Umboo Melaka (104 tahanan),Depot Langkap,Perak (100 tahanan) dan Depot Bukit Jalil (100 tahanan).

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seramai 528 tahanan melarikan diri daripada depot imigresen lebih kurang jam 4.30 pagi, Rabu.

Daripada jumlah itu, enam tahanan maut selepas dirempuh kenderaan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, berhampiran Jawi.

Dua tahanan turut dilaporkan cedera dengan masing-masing menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap dan Hospital Seberang Jaya.