Melaka kekurangan telur ayam gred C

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

MELAKA - Melaka mengalami masalah kekurangan telur ayam gred C berikutan permintaan tinggi daripada peniaga makanan, kata Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem.

Beliau berkata, ia berikutan harga telur ayam berkenaan paling murah di pasaran ketika ini iaitu 37 sen berbanding gred B (39 sen) dan gred A (41 sen).

"Masalah ini mulai dikesan sejak Disember tahun lepas ketika negara berdepan bencana banjir. Ia kembali stabil pada Januari namun pada Februari, bekalan berkurangan disebabkan sambutan Tahun Baharu Cina," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Hee Sem berkata, keadaan mula stabil pada Mac namun menjelang April, bekalan susut semula berikutan umat Islam menyambut Ramadan.

Beliau berkata, bagaimanapun telur gred A dan B masih banyak di pasaran tempatan walaupun sebahagiannya dieksport ke Singapura.

"Saya difahamkan perkara ini bukan berlaku di Melaka sahaja malah melibatkan negeri-negeri lain juga, justeru saya menyeru agar peniaga makanan membeli juga telur ayam gred A dan B kerana perbezaan harga hanyalah 2 sen bagi setiap gred.

"Agak sukar kepada pengeluar untuk mengeluarkan telur bagi satu gred sahaja kerana ia di luar kawalan mereka," katanya. - Bernama