Polis Perak bantu kesan tahanan lolos

Mior Faridalathrash ketika ditemu bual media.
Mior Faridalathrash ketika ditemu bual media.
A
A
A

IPOH - Polis Perak mendirikan 54 sekatan jalan raya (SJR) di beberapa jalan persekutuan dan lebuh raya bagi membantu mengesan tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sekatan sempena Op Tutup itu digerakkan bermula awal pagi Rabu sebaik menerima maklumat daripada Kontinjen Kedah dan Pulau Pinang berhubung insiden tahanan meloloskan diri dari depoh berkenaan.

"Tumpuan Op Tutup diberikan di tiga daerah yang bersempadanan iaitu di Kerian, Selama dan Taiping. Ini lokasi titik panas yang kita beri perhatian utama.

"Begitupun sekatan-sekatan jalan raya turut diadakan di seluruh negeri bukan sahaja di jalan persekutuan, tetapi lebuh raya juga yang melibatkan penugasan 243 anggota kerana ikut maklumat yang diterima, mereka beramai-ramai keluar melintasi laluan lebuh raya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Pemakaian dan Penyematan Pangkat Bagi Pegawai dan Anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) Kontinjen Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini pada Rabu.

Dalam majlis itu, seramai tiga pegawai dan 303 anggota pangkat rendah SSPDRM menerima pemakaian dan penyematan pangkat.

Seramai tiga pegawai dan 303 anggota pangkat rendah SSPDRM menerima pemakaian dan penyematan pangkat.
Seramai tiga pegawai dan 303 anggota pangkat rendah SSPDRM menerima pemakaian dan penyematan pangkat.

Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, setakat jam 6 petang, belum ada sebarang tangkapan atau laporan berhubung tahanan lari dikesan di negeri ini.

Beliau berkata, pemantauan dan rondaan akan tetap dipertingkatkan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko untuk tahanan masuk terutama di kampung.

"Memang kita tak nafikan kemungkinan untuk pelarian-pelarian ini akan masuk ke kawasan kampung dan sebagainya.

"Jadi kita mintalah penduduk kampung dan pemimpin-pemimpin kampung kalau ternampak atau mengesyaki keberadaan mereka, segera hubungi balai polis berdekatan supaya kita dapat menahan semula mereka," katanya.

Dalam insiden kira-kira jam 4.30 pagi itu, seramai 528 tahanan etnik Rohingya dilapor melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu.

Daripada 528 yang melarikan diri, seramai 357 telah ditemui termasuk enam yang maut selepas mereka terlibat dalam kemalangan ketika melintas jalan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala selatan iaitu berhampiran kawasan Jawi.