Sila log masuk terlebih dahulu.

Kes Bella: Saksi nafi dibayar beri keterangan palsu di mahkamah

Siti Bainun (kanan) tiba bagi perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella berusia 13 tahun di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu. -  Foto Bernama
Siti Bainun (kanan) tiba bagi perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella berusia 13 tahun di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penghuni Rumah Bonda,Yasmin Nahar Mahmood hari ini menafikan dakwaan peguam bela, bahawa beliau dibayar untuk memberi keterangan palsu di mahkamah pada perbicaraan kes pengasas rumah kebajikan itu, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella.

Saksi pendakwaan kelima berusia 19 tahun itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun, pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi.

Nur A’minahtul Mardiah: Yasmin telah dibayar oleh 'Justice For Bella' seperti yang dilihat oleh beberapa individu di hadapan mahkamah ini melalui ayah Yasmin, Jumaat lalu (15 April) ?

Yasmin: Tidak.

Yasmin juga menafikan bahawa beliau telah menipu di mahkamah dari hari pertama beliau memberikan keterangan di mahkamah kerana mahukan Siti Bainun dimasukkan ke penjara.

Yasmin juga menafikan kepada beberapa cadangan Nur A’minahtul Mardiah termasuk beliau takut kena dakwa di mahkamah dan ada orang takutkannya yang beliau boleh dipenjara 20 tahun jika tidak melawan Siti Bainun.

Yasmin juga menyatakan tidak kepada soalan Nur A’minahtul Mardiah bahawa beliau mempunyai perasaan iri hari terhadap Bella.

Pada prosiding sebelum ini, Yasmin memberitahu mahkamah bahawa Siti Bainun memijak lutut Bella dan disoal peguam itu hari ini berapa kali lutut bella dipijak dari Mac hingga Jun tahun lepas, saksi itu menjawab: Tidak pasti.

Artikel Berkaitan:

Nur A’minahtul Mardiah: Saya cadangkan berat Siti Bainun 150 kilogram, jadi kalau dia pijak lutut Bella boleh patah, tetapi laporan perubatan menyatakan lutut Bella tidak patah dan tidak retak, Yasmin tahu atau tidak? Yasmin menjawab: Tidak tahu.

Kepada soalan lain, Yasmin bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Bella perlu berdiri setiap hari atas arahan Siti Bainun.

Susulan itu, satu klip video ditayangkan yang mana peguam bertanya soalan apakah yang dilakukan oleh Bella dan saksi itu menjawab: Bella sedang mengutip nasi, Bella tidak berdiri dan tidak duduk.

Nur A’minahtul Mardiah mencadangkan sekiranya Bella disuruh berdiri setiap masa, remaja sindrom down itu akan mengalami 'inflammation' atau keradangan di lutut serta kaki tidak boleh bergerak. Yasmin menjawab: Tidak tahu.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah telah menayangkan satu klip video yang memaparkan Bella mula-mula ditemui oleh pengadu kes ini iaitu saksi pendakwaan pertama Zurianty Sudin, 39, bagaimanapun, pihak media dan orang awam tidak dibenarkan berada dalam mahkamah.

Sejurus tayangan video selesai ditayangkan, Nur A’minahtul Mardiah bertanya kepada saksi itu apabila Zurianty merakam video tersebut tiada satu kali pun Bella menyebut nama Siti Bainun, 'bonda' atau apa-apa panggilan lain dan Yasmin menjawab: Ya, betul.

Yasmin kemudian bersetuju dengan cadangan peguam bahawa dalam rakaman itu Zurianty atau lebih dikenali sebagai 'Mommy' ada bertanyakan kepada Bella siapa yang mengikat remaja itu dan Bella menjawab: 'Shomin'.

Nur A’minahtul Mardiah: Yasmin kata semua terkejut sebab Mommy Zu (Zurianty) tiba-tiba datang dan kemudian buat rakaman dan Yasmin menjawab: Betul.

Nur A’minahtul Mardiah: Jadi jawapan Bella yang sebut nama 'Shomin' juga spontan? Yasmin menjawab: Ya.

Dalam keterangan sebelum ini, Yasmin memberitahu mahkamah bahawa 'Shomin' itu merujuk kepada dirinya.

Sementara itu, Yasmin berkata Bella tidak memberikan sebarang reaksi ketika minum satu penutup cecair pelembut pakaian jenama Softlan.

"Tak ada (reaksi). Dia minum sahaja, lepas itu dia diam,” kata saksi itu yang kemudiannya bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tiada pelembut pakaian jenama Softlan digunakan di rumah itu sebaliknya pelembut pakaian jenama Downy.

Yasmin juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa semua cerita mengenai Bella makan nasi bercampur cuka dan makan cili adalah satu cerita yang disatukan daripada cerita-cerita di Facebook dan beliau juga tidak bersetuju bahawa beliau kena pastikan semua cerita selari dengan yang apa yang diperkatakan bagi mengelakkan ‘Justice For Bella’ menjadi malu.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama

mahkamah, siti bainun, aniaya, abai, bella, nafi, dibayar