Patuhi undang-undang Malaysia

Hamzah - Foto Bernama
Hamzah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua pihak termasuk warga asing yang berada di Malaysia mesti mematuhi undang-undang negara ini.

Tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Malaysia merupakan sebuah negara yang tidak mengiktiraf status pelarian.

"Keberadaan pelarian dalam negara adalah hanyalah atas dasar kemanusiaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, bagi memelihara kedaulatan dan kepentingan rakyat Malaysia, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara.

Menurutnya, kesemua 528 orang tahanan yang melarikan diri daripada pusat tahanan Sungai Bakap merupakan pelarian etnik Rohingya yang telah dipindahkan daripada Kem Wawasan Langkawi setelah ditangkap mencerobohi perairan negara dan melanggar Akta Imigresen pada tahun 2020.

"Polis dan Jabatan Imigresen Malaysia telah diarah untuk melakukan siasatan terperinci punca mereka bertindak sedemikian.

"Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, seramai 382 tahanan telah ditahan semula oleh polis dan agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Rohingya Kedah, Yusof Ali menyifatkan tindakan etnik Rohingya itu mungkin disebabkan terlalu lama berada dalam depot berkenaan.

Ujarnya, sebahagian besar daripada mereka memiliki Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNCHR) namun tetap ditahan pihak berkuasa kerana mendakwa ia adalah palsu.

Awal pagi Rabu, negara dikejutkan dengan sejumlah tahanan Rohingya lolos daripada Depot Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu, Kedah setelah memecahkan pintu blok dan gril penghadang.

Enam daripada mereka disahkan maut akibat dirempuh kenderaan ketika melarikan diri.

Pihak berkuasa kini sedang mempergiat gerakan bagi mencari baki tahanan yang lain.