Kaki ponteng puasa dicekup hisap rokok

Seorang lelaki dicekup kerana menghisap rokok di sebuah premis kedai makan di Tikam Batu pada Rabu.
Seorang lelaki dicekup kerana menghisap rokok di sebuah premis kedai makan di Tikam Batu pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang kaki ponteng puasa dicekup kerana menghisap rokok dalam serbuan di sebuah premis kedai makan di Tikam Batu, kira-kira jam 11.30 pagi Rabu.

Lelaki berusia 51 tahun itu memberikan alasan tidak berpuasa kerana keletihan dan mengambil peluang menghisap rokok ketika berada di premis tersebut.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Syeikh Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, lelaki terbabit telah diberikan notis kompaun dan diminta hadir ke pejabat untuk tindakan lanjut.

"Operasi yang diketuai Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin disertai 23 anggota termasuk pejabat agama daerah, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dan Skuad Badar itu bermula jam 10 pagi meliputi kawasan tumpuan dan berdasarkan aduan orang ramai," katanya.

Beliau berkata, dalam masa sama, peniaga premis kedai makan turut dikenakan kompaun oleh pihak MPSPK mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) kerana memulakan operasi sebelum jam 3 petang pada bulan Ramadan.

"Pemeriksaan di hadapan premis turut mendapati seorang lelaki selesai membeli bungkusan nasi yang disembunyikan dalam raga motosikal.

"Apabila ditanya, lelaki berusia 26 tahun itu menjelaskan letih bekerja menjadikan alasan ponteng puasa," katanya.

Dia bagaimanapun diberi nasihat dan amaran agar tidak mengulangi kesalahan.

Jelasnya, mana-mana individu yang didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain di tempat awam, boleh disiasat mengikut Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana tidak menghormati bulan Ramadan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.