KPKT digesa campur tangan isu keselamatan bangunan komersial

Sau Ming menunjukkan gambar-gambar dalam unit bangunan komersial tersebut.
Sau Ming menunjukkan gambar-gambar dalam unit bangunan komersial tersebut.
A
A
A

PETALING JAYA - Kerajaan khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu campur tangan bagi menyelesaikan isu keselamatan sebuah bangunan komersial di sini yang didakwa diragui dari segi kelulusannya.

Pengarah CHIMES AG Sdn Bhd (CHIMES), Woo Sau Ming menimbulkan keraguan terhadap penggunaan lantai mezanin dalam unit-unit bangunan tersebut yang dikatakan salah di bawah peruntukan Seksyen 44 (3) Undang-Undang Kecil Bangunan (UBBL) 1984 dan Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Beliau yang memiliki dua unit dalam bangunan komersial tersebut menyuarakan kemusykilan apabila 30 peratus daripada jumlah unit di premis berkenaan ditukarkan menjadi unit rumah, yang seterusnya menyebabkan penggunaan lantai tersebut membahayakan penghuninya.

"Selain daripada unit tidak dilengkapi pengesan asap dan perenjis tambahan, penggunaan lantai mezanin diperbuat daripada papan lapis dan vinil juga memberi risiko kepada kebakaran.

"Jika lantai mezanin yang dipasang pada 2017 tidak mematuhi, bagaimana pembaharuan Pensijilan Bomba diperoleh pada tiga tahun lalu?

"Jika struktur mezanin tidak mematuhi UBBL, ia akan memberi kesan kepada keseluruhan polisi Perlindungan Insurans Bangunan kerana ia tertakluk kepada pematuhan berkanun.

"Saya menulis surat kepada pemaju dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) meminta pengesahan kelulusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk pemasangan lantai mezanin sejak tiga tahun lalu, namun tiada respons daripada pihak berkenaan," katanya dalam satu sidang media di Harmony Hall Petaling Jaya, Seksyen 19, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Sau Ming berkata, pihak pemaju turut memfailkan saman fitnah terhadap syarikatnya sebanyak RM10 juta atas dakwaan yang dibuat olehnya.

Sau Ming ketika sidang media di Harmony Hall Petaling Jaya, Seksyen 19 pada Rabu.
Sau Ming ketika sidang media di Harmony Hall Petaling Jaya, Seksyen 19 pada Rabu.

Oleh itu, Sau Ming berkata, pihaknya terpaksa memfailkan tuntutan berasingan di Mahkamah Sesyen dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia untuk membela saman fitnah daripada pemaju dan mendapatkan jawapan kepada semua persoalan.

"Sebagai pemilik atau bakal pemilik, Akta Pembangunan Perumahan memberi kuasa dan akses kepada pemilik untuk mendapat dokumen serta informasi berkaitan dengan bangunan tersebut.

"Sistem dan protokol pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak berjaya membantu pemilik atau bakal pemilik dengan permintaan yang ringkas dan senang seperti memberikan maklumat dan dokumen.

"Oleh itu, kami melancarkan satu petisyen kepada pihak KPKT untuk menyemak dan meminda undang-undang berkaitan Akta Pengurusan Strata 2013 dan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015 supaya pemaju serta JMB memberi maklumat tentang dana pemilik dan isu-isu bangunan tanpa halangan," katanya.