JAIS tambah baik modul kursus pra perkahwinan elak kes penceraian

Abdul Aziz turut mengedarkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya pada Majlis Sumbangan Bubur Lambuk kepada Penghuni Rumah Anak Yatim di Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras pada Rabu.
Abdul Aziz turut mengedarkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya pada Majlis Sumbangan Bubur Lambuk kepada Penghuni Rumah Anak Yatim di Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa mengkaji keperluan penambahbaikan modul kursus pra perkahwinan di negeri ini dari semasa ke semasa.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, kursus itu penting sebagai panduan kepada pasangan yang bakal berkahwin bagi menghadapi kehidupan berkeluarga.

Malah, katanya, kursus itu juga secara tidak langsung dapat mengurangkan permasalahan rumahtangga dan kes perceraian yang dihadapi oleh umat Islam di negeri ini.

"Cuma dalam kursus (pra perkahwinan) ini, kita boleh tingkatkan kesedaran kepada pasangan bagaimana mereka boleh memantapkan ilmu bagi mengelakkan kes penceraian dan sebagainya," katanya ketika diminta mengulas mengenai kadar kes penceraian yang tinggi di Selangor.

Abdul Aziz ditemui ketika Majlis Sumbangan Bubur Lambuk kepada Penghuni Rumah Anak Yatim di Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras pada Rabu.

Beliau berkata, terdapat banyak faktor menyumbang kes penceraian tinggi di Selangor terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

"Kes penceraian yang memberi kesan besar di negeri ini disebabkan masalah ekonomi kerana semasa PKP ramai diberhentikan kerja termasuklah dalam kalangan suami isteri yang hilang punca pendapatan.

"Dalam keadaan susah ini, macam macam boleh berlaku hingga berlakunya kes penceraian pasangan Islam," jelasnya.

Katanya, dalam keadaan negara ke fasa peralihan endemik ini beliau berharap kes penceraian dapat dibendung sekali gus mewujudkan sebuah masyarakat dan keluarga harmoni.

"Mudah-mudahan PKP ini tidak berterusan kerana kita tidak mahu seperti dulu, kita berharap rakyat boleh bekerja, mampu menyara isteri dan keluarga," ujarnya.

Sebelum ini, sebanyak 6,299 kes perceraian direkodkan di sembilan daerah di negeri ini pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, daerah Petaling merekodkan kadar perceraian tertinggi iaitu 1,668 diikuti Hulu Langat (1,303); Gombak (960); Klang (878); Kuala Langat (407); Sepang (352); Kuala Selangor (314); Hulu Selangor (297) dan Sabak Bernam (120).