Mawar Karim hadir pendengaran mahkamah esok: Peguam

Mohd Imran (dua dari kiri) bersama anak guamnya Mawar hadir pada sidang akhbar di Hotel Chaseman, Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
Mohd Imran (dua dari kiri) bersama anak guamnya Mawar hadir pada sidang akhbar di Hotel Chaseman, Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usahawan terkenal, Mawar Abdul Karim akan hadir ke Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi esok pagi bagi pendengaran notis permohonan mahkamah untuk menangguh pelaksanaan penghakiman berhubung kes berkaitan tindakan tuntutan saman sivil berjumlah RM720,000.

Salah seorang peguam, Datuk Mohd Imran Tamrin yang mewakili Mawar selaku defendan berkata, pihaknya akan membuat dua permohonan berhubung tuntutan saman oleh plaintif, Nabil Mat Jahya.

“Kita akan meminta dua perkara iaitu yang pertama, satu perintah mahkamah diberikan untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang telah diperoleh plaintif terhadap Mawar.

“Kedua, kita akan meminta permohonan pelaksanaan plaintif terhadap Mawar ditangguhkan sehingga mahkamah mendengar jawapan daripada defendan,” katanya ketika sidang akhbar di Hotel Chaseman, di sini pada Rabu.

Jelasnya, permohonan itu bagi memberi ruang untuk anak guam, Mawar menjawab segala tuntutan saman serta bayaran yang dikemukakan plaintif pada Januari lalu.

Terdahulu media sebelum ini melaporkan usahawan berusia 33 tahun itu berdepan tindakan mahkamah selepas didakwa gagal membayar wang pinjaman bernilai RM 720,000.

Pinjaman itu dibuat daripada seorang kenalannya bagi tujuan modal memulakan perniagaan.