Polis tahan lelaki warga asing tidak pakai pelitup muka

Rakaman video memaparkan seorang lelaki warga asing tidak memakai pelitup muka dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengawal keselamatan di pasar raya tular di media sosial.
Rakaman video memaparkan seorang lelaki warga asing tidak memakai pelitup muka dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengawal keselamatan di pasar raya tular di media sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki warga Kanada yang tidak memakai pelitup muka dan menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Jalan Ampang di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan selepas dia tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada jam 8.30 malam.

Menurutnya, suspek telah hadir ke IPD Wangsa Maju untuk memberi keterangan apabila menyedari videonya tidak memakai pelitup muka telah tular di media sosial.

"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kes masih disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Peraturan 18 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ashari berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya dalam masa terdekat untuk arahan selanjutnya.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat dalam kejadian ini boleh tampil memberi maklumat atau menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana- mana balai polis berhampiran," katanya.

Pada Ahad, media melaporkan polis mengesan video tular berdurasi 18 saat dimuat naik oleh dua pemilik akaun TikTok.

Video itu memaparkan seorang lelaki warga asing tidak memakai pelitup muka dan mengeluarkan kata-kata kesat serta menunjukkan isyarat lucah kepada pengawal keselamatan yang sedang bertugas di pasar raya.