Peserta empowerNCER capai rekod KPI pendapatan 76 peratus

Mohamad Haris meraikan anak yatim sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama empowerNCER di Dewan Serbaguna Bandar Laguna Merbok pada Isnin.
Mohamad Haris meraikan anak yatim sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama empowerNCER di Dewan Serbaguna Bandar Laguna Merbok pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 1,600 peserta empowerNCER yang menamatkan Latihan Kemahiran dan Keusahawanan pada Ogos 2021 merekodkan pencapaian pendapatan petunjuk prestasi utama (KPI) mencecah 76 peratus.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan berkata, cabaran berdepan pandemik selain latihan dilaksanakan secara dalam talian dan kemerosotan perniagaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagaimanapun tidak menghalang usaha peserta untuk terus kekal bersaing di pasaran.

Menurutnya, ia dibuktikan apabila 98 peratus daripada mereka berjaya meningkatkan pendapatan manakala 153 peserta pula telah berjaya menempatkan diri dalam kategori pendapatan M40 dan T20.

"NCIA bukan sahaja mampu melahirkan usahawan berjaya, malah pada masa sama mereka turut menyumbang kepada golongan kurang bernasib baik apabila meraikan anak yatim, Orang Asli dan miskin tegar.

"Malah 250 peserta program empowerNCER dan JomNiaga@NCER yang telah berjaya membangunkan perniagaan masing-masing turut menaja majlis berbuka puasa pada kali ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama empowerNCER 'Bersamamu Rayaku Ceria' di Dewan Serbaguna Bandar Laguna Merbok pada Isnin.

Mereka yang diraikan pada majlis itu terdiri daripada 37 penghuni Pertubuhan Rumah Anak Yatim dan Miskin Daerah Kuala Muda, lima anak Orang Asli Daerah Baling dan sekumpulan penerima bantuan Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) Daerah Yan, Baling dan Sik.

Mohamad Haris (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan Bakul Raya Ceria Aidilfitri kepada anak yatim.
(Gambar keci dari kiril: Shamsinar, Muhammad Husaini)
Mohamad Haris (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan Bakul Raya Ceria Aidilfitri kepada anak yatim. (Gambar keci dari kiril: Shamsinar, Muhammad Husaini)

Mengulas lanjut, Mohamad Haris berkata, selain menerapkan nilai kerohanian dan kebajikan, ia bertujuan menyumbang kembali kepada masyarakat khususnya golongan memerlukan.

"Inisiatif ini bukan sahaja mampu memupuk kerjasama antara peserta, malah memberi peluang kepada mereka beramah mesra dan membina hubungan ukhuwah," katanya.

Sementara itu, peserta empowerNCER Daerah Pendang, Shamsinar Abd Manab, 35, berkata, Kursus Dandanan Rambut yang diikutinya sebelum ini bukan sahaja memberi ilmu berguna malah meningkatkan pendapatannya kepada empat angka sebulan.

Selain itu, peserta JomNiaga@NCER Daerah Yan, Muhammad Husaini Arifin, 29, berkata, sejak mengikuti Kursus Mereka Bentuk dan Pengeluaran Jahitan Kreatif, semangat untuk meneruskan bidang jahitan yang 'sepi' sejak pelaksanaan PKP berjaya diteruskan kembali.

Menurutnya, kursus yang diikuti itu mampu meningkatkan kemahiran, kreativiti serta peluang baharu bagi menjana pendapatan.

"Setakat ini, Alhamdulillah butik jahitan kembali menerima tempahan dan melalui hasil yang diperoleh itu kami dapat membantu golongan memerlukan,"katanya.