UMT agih sumbangan zakat, bantuan komputer riba kepada pelajar asnaf

Mazlan (kanan) bersama penerima sumbangan selepas majlis berbuka puasa di Dewan Sultan Mizan, UMT di Kuala Nerus pada Isnin.
Mazlan (kanan) bersama penerima sumbangan selepas majlis berbuka puasa di Dewan Sultan Mizan, UMT di Kuala Nerus pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengagihkan sumbangan zakat bernilai RM1.3 juta serta bantuan komputer riba kepada pelajar asnaf dan golongan B40 di universiti itu.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, seramai 2,000 pelajar asnaf dan B40 menerima bantuan zakat manakala 100 pelajar asnaf lain menerima bantuan komputer riba bernilai RM200,000 sumbangan Lembaga Tabung Haji (TH) Malaysia.

"Impak kewangan yang dialami akibat pandemik Covid-19 sebelum ini begitu dirasai. Ia sedikit sebanyak telah menjejaskan kehidupan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terutama dalam kalangan asnaf dan B40 kerana mereka memerlukan sumber kewangan mencukupi bagi menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran di kampus.

"Kita percaya dengan adanya skim bantuan yang dilaksanakan ini sedikit sebanyak mampu meringankan bebanan yang dialami mereka," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Ramadan dan Syawal pada Isnin.

Menurut Mazlan, UMT melalui Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) menggerakkan inisiatif itu bagi memastikan golongan terbabit tidak terpinggir dan dapat mengikuti pengajian dengan baik.

"Terdapat agensi dan sektor korporat bermurah hati memberikan sumbangan zakat, antaranya melalui Program Iqra' Tabung Haji berjumlah RM750,000.

"Sumbangan yang diberikan itu menunjukkan bahawa agensi korporat sentiasa meletakkan pendidikan sebagai elemen paling utama dalam pembangunan modal insan serta keprihatinan bagi memastikan golongan asnaf dan B40 ini tidak ketinggalan dalam pembelajaran," katanya.

Pada majlis berkenaan turut diadakan penyerahan sumbangan Bantuan Sukarelawan Asnaf sebanyak RM250 setiap seorang kepada 70 pelajar hasil sumbangan Syarikat Perumahan Kinrara Berhad.

Selain itu, seramai 85 pelajar UMT daripada tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Selangor yang terjejas dalam bencana banjir akan menerima sumbangan RM600 setiap seorang daripada Syarikat Etiqa General Takaful Berhad.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai menghargai rakan media, UMT turut memberikan sumbangan dalam bentuk baucer berjumlah RM10,000 kepada rakan media di Terengganu dan Lembah Klang yang terlibat secara langsung bersama-sama dalam usaha melonjakkan imej dan Citra UMT.

"Dengan publisiti dan liputan meluas diberikan rakan media, UMT kian gah menempa nama sebagai universiti peneraju dalam bidang sains marin dan sumber akuatik.

"UMT amat berbesar hati mendapat kerjasama padu daripada rakan media. Semoga ia berterusan pada masa akan datang, "katanya.