Skuad berbasikal negara belum putuskan senarai akhir pelumba

Joo Gan (tengah) bersama atlet berbasikal negara, Nur Aisyah Zubir (kiri) dan pengurus pasukannya, Firdaus Arsyad selepas sidang media menjelang temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Isnin. -Foto Bernama
Joo Gan (tengah) bersama atlet berbasikal negara, Nur Aisyah Zubir (kiri) dan pengurus pasukannya, Firdaus Arsyad selepas sidang media menjelang temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada Isnin. -Foto Bernama
A
A
A

SKUAD berbasikal negara belum memuktamadkan senarai akhir pelumba yang bakal menggalas cabaran dalam acara berbasikal lebuh raya lelaki di Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada 12 hingga 23 Mei ini.

Ini berikutan mereka masih belum mendapat gambaran penuh mengenai laluan yang bakal digunakan pada temasya itu nanti.

Ketua jurulatihnya, Datuk Ng Joo Ngan berkata, percaturan pelumba hanya akan dilaksanakan selepas pihaknya mendapat butiran lengkap mengenai laluan tersebut.

"Sehingga kini laluan itu belum diketahui kerana Vietnam masih belum umumkan. Kami jangka ia mungkin diumumkan beberapa hari sebelum acara itu bermula.

"Jadi atas sebab itu, senarai nama akhir pelumba yang akan menggalas cabaran bagi acara itu belum dimuktamadkan dan kami mahu ia dibuat secara teliti,” katanya kepada pemberita di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Isnin.

Sementara itu, Joo Ngan berkata, pihaknya akan ke Vietnam seminggu sebelum kejohanan tersebut berlangsung bagi meninjau laluan seterusnya memutuskan pelumba yang akan bersaing, termasuk siapa yang akan melakukan pecutan atau membuat pendakian.

"Tidak semestinya mempunyai pasukan yang kuat kita boleh menang kerana ia melibatkan percaturan yang baik untuk memenangi pingat. Jika diletakkan pelumba yang kurang tepat kemungkinan akan timbul masalah nanti,” katanya.

Antara pelumba yang dijangka membawa cabaran Malaysia ialah Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri dan Mohd Harrif Saleh.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya dalam masa sama menyasarkan satu pingat bagi setiap warna dalam temasya dwitahunan itu.

Pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, skuad berbasikal lebuh raya negara meraih dua pingat emas, tiga perak dan satu gangsa daripada lima acara yang dipertandingkan, namun pulang dengan tangan kosong pada Sukan SEA 2019 di Filipina. - Bernama