Warga Bangladesh gembira dapat berbuka di masjid

Lebih 200 warga asing beragama Islam membuka puasa di Masjid Al-Azim Taman Semarak.
Lebih 200 warga asing beragama Islam membuka puasa di Masjid Al-Azim Taman Semarak.
A
A
A

NILAI - Bagi meraikan penduduk warga asing beragama Islam di Flat Taman Semarak di sini, Masjid Al-Azim Taman Semarak memberi peluang kepada komuniti itu mengadakan majlis berbuka puasa khas buat mereka pada setiap hari Ahad.

Pengerusinya, Md Fakarudin Ab Rahman berkata, kebenaran itu diberi sebagai penghargaan memandangkan mereka merupakan antara jemaah paling ramai mengimarahkan masjid setiap hari.

"Mereka ini juga rajin bersedekah dan sempena bulan Ramadan ini buat pertama kalinya kita bagi mereka gunakan masjid sebagai tempat untuk memasak juadah berbuka dan anjur majlis berbuka puasa untuk komuniti mereka seramai 300 orang.

"Segala kos penyediaan makanan dan lain-lain disediakan oleh mereka sendiri, " katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, kebanyakan warga asing beragama Islam yang tinggal di situ ialah warga Bangladesh yang mana kebanyakan daripada mereka sudah menetap di situ lebih lima tahun.

Ujar Md Fakarudin, kemungkinan ada yang skeptikal terhadap warga Bangladesh yang disifatkan pengotor.

"Tapi mereka ini berbeza kerana kita sudah didik mereka amalkan gaya hidup rakyat kita yang mementingkan kebersihan.

"Lagipun masjid ini tempat ibadah dan dah jadi pusat komuniti yang sepatutnya memberi ruang kepada sesiapa sahaja walaupun warga asing,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Warga asing bersiap sedia untuk berbuka puasa.
Warga asing bersiap sedia untuk berbuka puasa.

Sementara itu warga Bangladesh, Hafizur Rahman Hashanul, 34, berkata, peluang diberi oleh pihak masjid untuk komunitinya mengadakan majlis berbuka puasa disifatkan sesuatu yang istimewa.

Ini kerana katanya, ada sesetengah masyarakat yang memandang negatif kepada warga asing.

"Saya sudah tinggal di Malaysia selama 14 tahun dan sudah anggap ini seperti negara sendiri kerana di sinilah tempat saya cari rezeki.

"Bila pihak masjid beri peluang untuk guna ruang masjid adakan majlis berbuka puasa, saya gembira sangat kerana inilah masanya untuk komuniti saya berkumpul dan buat gotong-royong siapkan juadah," katanya.

Jelasnya, seawal jam 2 petang mereka sudah mula memasak juadah untuk 300 orang dan hanya siap pada jam 5.30 petang.

Selain itu Syakil Mansor Ahmad, 27, pula berkata, sejak tujuh tahun menetap di Malaysia, itu pertama kali dia bersama rakan-rakan berpeluang mengadakan gotong-royong memasak di masjid untuk majlis berbuka puasa.

"Biasanya saya akan buka puasa di rumah saja bersama rakan-rakan.

"Tapi tahun ini seronok juga bila kami ramai-ramai dapat berkumpul siapkan juadah yang saya rasa seperti ada di kampung sendiri," katanya.