Siasat kes penderaan Bella secara menyeluruh

Perbicaraan kes penderaan Bella yang kini berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjadi perhatian rakyat Malaysia.
Perbicaraan kes penderaan Bella yang kini berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjadi perhatian rakyat Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Siasatan terhadap kes penderaan kanak-kanak sindrom down dikenali sebagai Bella perlu dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan pengurusan serta tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membenarkan pengoperasian Rumah Bonda meskipun tidak berdaftar dengan agensi tersebut.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu tampil memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai ketirisan pengurusan agensi di bawah kementerian itu yang dilihat melindungi individu berpengaruh.

Che Asmah
Che Asmah

“Saya harap siasatan isu ini (penderaan terhadap Bella) tidak terhenti di peringkat kes mahkamah sahaja kerana saya percaya ada pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk memastikan rumah kebajikan dipantau terutama rumah perlindungan.

“Dalam isu ini, saya tidak tahu kenapa JKM boleh membenarkan Rumah Bonda beroperasi tanpa lesen, rumah perlindungan ini sudah lama beroperasi. Justeru saya percaya JKM ada hubungan rapat dengan Rumah Bonda dan perkara ini perlu disiasat. Kenapa selepas kes Bella 'meletup' baru disita rumah tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Perbicaraan kes penderaan Bella yang kini berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjadi perhatian rakyat Malaysia termasuk beberapa pemimpin politik, golongan artis serta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Mengulas lanjut Che Asmah yang juga Ketua Pejuanita Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, adalah menjadi tanggungjawab KPWKM untuk memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai prosedur operasi standard (SOP) JKM berhubung penjagaan kanak-kanak yang diletakkan di bawah jabatan itu.

Katanya, kegagalan JKM untuk melaksanakan tanggungjawab menempatkan kanak-kanak istimewa di rumah perlindungan yang sepatutnya juga perlu disiasat kerana keselamatan golongan berkenaan tidak boleh dikompromi.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini kita tahu Bella dijaga oleh JKM sebelum dihantar ke Rumah Bonda, sekali gus menunjukkan JKM tahu kewujudan rumah perlindungan itu.

“Menjadi persoalan, apakah asas JKM yang telah beri kebenaran kepada Siti Bainun (jaga Bella) kerana saya pasti JKM hanya akan serah (jagaan) kepada mereka yang layak setelah menyemak latar belakang individu tersebut.

“Justeru perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh, menilai keseluruhan operasi institusi kebajikan khususnya yang menjaga anak-anak istimewa kerana mereka tidak boleh menyuarakan hak diri sendiri,” katanya.