Siti Bainun mula marah, pukul selepas Bella tarik langsir

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Abd Razali hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumat bagi menghadiri sambung bicara pertuduhan yang dihadapinya - Foto Bernama
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Abd Razali hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumat bagi menghadiri sambung bicara pertuduhan yang dihadapinya - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kejadian langsir bilik ditarik hingga besi tercabut menjadi punca pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali mula tidak sukakan remaja Sindrom Down dikenali Bella.

Demikian pendedahan penghuni Rumah Bonda di Wangsa Maju yang juga saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19, ketika prosiding kes menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dikenali Bella, di hadapan Hakim Izralizam Sanusi Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Asiah Jalil yang mewakili Siti Bainun, saksi pendakwaan kelima itu berkata, sejak kejadian itu, Siti Bainun mula marah-marah dan memukul Bella, namun dia tidak mengetahui motif tertuduh mahu mendera Bella.

Yasmin berkata, Bella didera secara secara mental pada bulan Februari 2021 manakala fizikal bermula Mac 2021.

Asiah: Tapi sebelum ini awak cakap pindah ke Rumah Bonda pada Mac 2021, bagaimana awak tahu Bella didera pada Februari 2021?

Yasmin: Hanya emosi dia, jadi mula Februari 2021.

Asiah: Saya cadangkan Bella tinggal dengan Siti Bainun pada 14 Julai sehingga Oktober 2020 di Rumah Bonda Setapak kemudian berpindah ke kondominium Rumah Bonda di Wangsa Maju.

Yasmin: Ya.

Artikel Berkaitan:

Asiah: Namun, pada bulan Februari Bella tak kena didera?

Yasmin: Ya.

Asiah: Kenapa tiba-tiba dia kena dera?

Yasmin: Tak tahu.

Asiah: Pada bulan Mac, apa yang berlaku sehingga menyebabkan Siti Bainun tak suka pada Bella?

Yasmin: Bella masuk bilik kedua, dia tertarik langsir sampai putus, bila Siti Bainun tahu, dia marah dan pukul Bella.

Asiah: Bilik siapa?

Yasmin: Bilik tidur saya dan adik-adik saya yang lain.

Saksi itu juga berkata, dia pernah diarahkan oleh Siti Bainun untuk mengikat Bella dan membogelkannya sebelum dicurah dengan air panas.

Katanya, diarahkan Siti Bainun untuk pastikan Bella tidak bergerak dan menyasarkan air panas itu di bahagian tertentu.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun.

Perbicaraan bersambung petang ini.