Berkatkah rezeki bulan Ramadan kita

Menyedihkan apabila ada yang culas waktu kerja demi hendak mengejar waktu berbuka, malah mahu terpacak awal di bazar Ramadan.
Menyedihkan apabila ada yang culas waktu kerja demi hendak mengejar waktu berbuka, malah mahu terpacak awal di bazar Ramadan.
A
A
A

BULAN Ramadan adalah bulan yang terbaik untuk kita meningkatkan amal ibadah. Sambil menunaikan Rukun Islam ketiga inilah bulan untuk kita memperbanyakkan amalan lain.

Pun begitu, jangan kita lupa kerja juga adalah satu ibadah. Ini bermakna walaupun dalam bulan puasa ia bukanlah alasan untuk kita mengurangkan produktiviti jauh sekali menjadi alasan untuk mengambil mudah tentang kerja.

Lebih menyedihkan ada yang culas waktu kerja demi hendak mengejar waktu berbuka, malah mahu terpacak awal di bazar Ramadan.

Itulah yang diluahkan rakan Merak Jalanan saat kami moreh bersama baru-baru ini.

Jika sebelum ini, beliau bekerja di sebuah syarikat berkaitan kejuruteraan yang agak ketat disiplin waktu kerja, lain pula kisahnya di tempat kerja baharu di sebuah agensi bawah satu kementerian.

Katanya, jika di syarikat swasta lama, pekerja beragama Islam masih diberi fleksibiliti untuk pulang awal berbuka puasa tetapi dengan syarat harus masuk awal bekerja.

“Kalau hendak balik jam 4 petang, masuklah bekerja jam 7.30 atau 8 pagi. Janji cukup 8 jam waktu bekerja,” katanya.

Tapi cerita kawan Merak Jalanan, pengalaman bulan puasa di tempat kerja baharu agak mengejutkan.

Artikel Berkaitan:

Apa tidaknya jam 12 tengah hari atau 1 petang, pejabat sudah hampir kosong. Pendek kata selepas waktu rehat tengah hari ramai sudah angkat kaki.

“Nak kata balik kerja dari rumah tidak juga. Sebab ramai yang update di IG story berada di bazar Ramadan atau sedang menyiapkan menu-menu juadah berbuka,” katanya.

Itulah salah satu kisah rakan Merak Jalanan. Merak Jalanan tidak katakan semua tempat kerja serupa. Lain tempat dan lain orang, mesti ada kisah berbeza.

Yang pasti, dalam kita menunaikan ibadah berpuasa janganlah ia dijadikan alasan untuk kita mengambil mudah ibadah kerja dalam mencari nafkah.