Ahmad Zahid nafi dakwaan lindungi Siti Bainun

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan beliau melindungi pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang mengupah 10 peguam bela dalam kes penderaan remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Ujar beliau, dakwaan yang dibuat berdasarkan gambar beliau dengan tertuduh tidak berasas kerana sebagai pemimpin, beliau tidak mungkin menolak permintaan orang ramai untuk bergambar.

“Biarlah mahkamah yang menentukan kebenaran melalui proses perbicaraan yang adil dan saksama.

"Dakwaan saya cuba mempengaruhi mahkamah dalam perbicaraan kes Bella juga tidak masuk akal.

“Bagaimana saya boleh melakukannya walhal yang menuduh juga tentu tahu saya tiada sebarang kuasa berbuat demikian.

“Saya tidak berada dalam kerajaan untuk menekan pihak pendakwaan seperti yang dilakukan kerajaan 22 bulan,” katanya melalui siaran di Facebook rasminya pada Ahad.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, sehingga kini, beliau masih lagi menggagahi perjuangan membersihkan namanya di mahkamah.

“Jika benar saya mempunyai keupayaan seperti itu bukankah lebih baik saya `melindungi' kes saya.

Artikel Berkaitan:

“'Melindungi’ kes mahkamah dikenakan terhadap saya oleh kerajaan 22 bulan sejurus mereka memperoleh kuasa.

“Saya harap mereka yang sedang gigih berusaha untuk memfitnah saya sekali lagi demi politik itu berhentilah,” ujarnya.

Ahmad Zahid turut meminta berita dan cerita yang disebarkan diselidik terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan maklumat tersebut.

“Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) janganlah diulangi politik fitnah dan kebencian seperti PRU14 kerana akhirnya rakyat yang menjadi mangsa.

“Saya jelaskan di sini, jangan kita terlalu mudah mempercayai sesuatu tuduhan dan dakyah yang dibawa,” menurutnya.