Rujuk semula perlembagaan parti: BN Perak

Saarani
Saarani
A
A
A

GERIK - Barisan Nasional (BN) Perak mencadangkan semua pihak merujuk semula perlembagaan parti berhubung cadangan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi Pengerusi BN.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa itu tidak semudah untuk dilaksanakan atas faktor terikat dengan perkara yang termaktub dalam perlembagaan.

"Apa yang disebutkan itu, bagi saya adalah pandangan peribadi beliau (Annuar), tetapi kita kena lihat balik kepada perlembagaan BN.

"Bukan semudah begitu sahaja kerana perlu diputuskan berasaskan perlembagaan BN," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis penyerahan Ladang Tanaman Semula Komersial (TSK) Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Dala 8 dan 9 di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia yang mencadangkan sudah tiba masanya untuk Ismail Sabri diangkat menjadi Pengerusi BN yang baharu.

Cadangan itu dilontarkan susulan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut, Saarani bersetuju dengan pandangan dan hujah diberikan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam perkara itu.

Katanya, bekas Setiausaha Agung UMNO itu menyatakan perlembagaan parti jelas menetapkan mana-mana individu yang menjadi Presiden UMNO akan dilantik sebagai Pengerusi BN.

Artikel Berkaitan:

"Presiden UMNO sekarang ini Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, maknanya beliaulah pengerusi BN kerana itu pemimpin dari UMNO," katanya.