Sila log masuk terlebih dahulu.

MySejahtera: P2 Asset Management dibenar pinda tuntutan saman

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat membenarkan P2 Asset Management Sdn Bhd meminda pernyataan tuntutan dalam samannya terhadap Entomo Malaysia Sdn Bhd, Revolusi Asia Sdn Bhd dan MYSJ Sdn Bhd berhubung pertikaian mengenai perjanjian penjualan saham berkaitan permohonan MySejahtera.

Peguam MYSJ, Razlan Hadri Zulkifli, yang mengesahkan perkara itu berkata, keputusan tersebut disampaikan oleh Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin melalui e-mel.

Beliau berkata, mahkamah turut menolak permohonan ketiga-tiga syarikat untuk membatalkan permohonan P2 Asset Management untuk meminda pernyataan tuntutan itu.

"MYSJ telah mengarahkan kami untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan,” katanya.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif berkata, sekitar April 2020, Entomo Malaysia mengemukakan cadangan penyelesaian berasaskan aplikasi mudah alih terhadap krisis Covid-19 yang sedang berlaku dan menggunakan perisiannya, KPISOFT Software untuk membangunkan aplikasi mudah alih dikenali sebagai 'MySejahtera'.

Menurut plaintif, disebabkan kejayaan aplikasi itu, Entomo Malaysia tidak lagi mahu menawarkan perisian dan aplikasi tersebut atas dasar tanggungjawab sosial korporat, sebaliknya bertekad untuk mengaut keuntungan perniagaan melalui perisian dan aplikasi berkenaan.

P2 Asset Management mendakwa pada 20 Sept 2020, Revolusi Asia memasuki suatu perjanjian dengan Entomo Malaysia, melibatkan Revolusi Asia akan memegang semua saham dalam MYSJ sebagai penama Entomo Malaysia, yang tidak dimaklumkan kepada plaintif pada masa pelaksanaan perjanjian dibuat.

Plaintif berkata pada 6 Oktober 2020, MYSJ telah memasuki suatu perjanjian dengan Entomo Malaysia dan perjanjian itu antara lain menyatakan bahawa Entomo Malaysia akan memindahkan harta intelek aplikasi tersebut kepada MYSJ, memberikan MYSJ lesen untuk perisian tersebut dan MYSJ perlu membayar Entomo Malaysia RM338.6 juta, iaitu yuran agregat untuk pemindahan harta intelek aplikasi itu dan yuran pelesenan bagi perisian.

Menurut plaintif, sekitar November hingga Disember 2020, Entomo Malaysia telah mengemukakan cadangan dan menulis surat kepada kerajaan, merayu supaya bersetuju dengan model komersial untuk penggunaan berterusan aplikasi itu, sama ada melalui Perkongsian Awam-Swasta, atau kontrak perkhidmatan antara kerajaan dan MYSJ.

Artikel Berkaitan:

Tambah plaintif, pada masa material itu, kerajaan tidak membuat sebarang balasan terhadap cadangan tersebut dan MYSJ tidak akan menjana pendapatan sama sekali sekiranya kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

"Pada 31 Disember 2020, Revolusi Asia memasuki perjanjian penjualan saham (SSA) dengan plaintif di mana Revolusi Asia akan menjual saham MYSJ kepada plaintif berdasarkan terma-terma perjanjian antaranya plaintif akan merepresentasikan kepada Revolusi Asia bahawa ia akan memudahkan untuk mendapatkan surat award daripada kerajaan kepada MYSJ berkenaan dengan Perkongsian Awam-Swasta atau model komersial kontrak perkhidmatan untuk penggunaan berterusan aplikasi tersebut.

"Revolusi Asia juga akan memindahkan tambahan 3,579,237 saham biasa MYSJ, mewakili 10 peratus kepentingan ekuiti dalam MYSJ memihak kepada plaintif dengan syarat plaintif tidak melakukan pelanggaran material terhadap mana-mana terma dan syarat yang dinyatakan.

"Sekiranya LOA (surat lantikan) oleh Kerajaan Malaysia dianugerahkan dan diterima oleh MYSJ dalam tempoh 60 hari dari tarikh perjanjian ini, defendan hendaklah dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penerimaan LOA, memindahkan 3,569,139 saham biasa MYSJ, mewakili 10 peratus kepentingan ekuiti dalam MYSJ kepada plaintif untuk dipegang sebagai amanah atau dipindahkan kepada penama yang akan dikenal pasti oleh plaintif," menurut plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa Entomo Malaysia dan Revolusi Asia telah secara salah berniat dengan cara yang menyalahi undang-undang, berkomplot dan bergabung bersama untuk menyebabkan Revolusi Asia melanggar SSA sehingga merugikan plaintif.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon deklarasi bahawa Entomo Malaysia dan Revolusi Asia telah melakukan pelanggaran kontrak, terutamanya SSA terhadap plaintif, memohon deklarasi SSA adalah sah, kekal, terikat dan berkesan selain memohon Entomo Malaysia dan/atau Revolusi Asia dengan segera mengambil langkah untuk memindahkan saham 10 peratus kepada plaintif.

Menurut plaintif, Entomo Malaysia dan/atau Revolusi Asia bertanggungjawab secara bersama dan/atau berasingan untuk membayar kepada plaintif sejumlah RM5 juta sebagai ganti rugi khas, teruk dan/atau teladan, ganti rugi am yang akan ditaksirkan kemudian, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama