Rusia minta sokongan Brazil

Anton Siluanov. - Foto AFP
Anton Siluanov. - Foto AFP
A
A
A

MOSCOW- Menteri Kewangan Rusia Anton Siluanov mengutus surat kepada rakan sejawatannya dari Brazil, Paulo Guedes, meminta beliau mendapatkan sokongan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan G20 untuk membantu menentang sekatan yang dikenakan oleh Barat, lapor Sputnik, yang memetik laporan Agensi Berita Reuters.

"Kami menganggap bahawa krisis semasa berikutan sekatan ekonomi yang didorong oleh negara-negara G7 mungkin memberi kesan yang berpanjangan melainkan kami mengambil tindakan bersama untuk menyelesaikannya," kata surat bertarikh 30 Mac itu. Surat itu disampaikan kepada menteri Brazil oleh duta Rusia ke Brazil pada Rabu.

Menteri Rusia itu dilaporkan menambah kata bahawa di sebalik tabir, IMF dan Bank Dunia sedang membincangkan kemungkinan untuk mengehadkan penyertaan Rusia dalam proses membuat keputusan, atau bahkan memecat Moscow daripada kedua-dua badan itu.

Seorang wakil Kementerian Ekonomi Brazil memberitahu Reuters bahawa Brazil mahu Rusia kekal sebagai sebahagian daripada perbincangan pelbagai hala.

Rusia berdepan sekatan ekonomi dan kewangan yang ketat berikutan operasi ketenteraan khasnya di Ukraine yang dilancarkan pada 24 Februari- Bernama

Artikel Berkaitan: