Bekerjasama lindungi alam sekitar: Mustapa

Mustapa
Mustapa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan berusaha menyediakan akses selamat kepada air bersih dan sistem sanitasi yang mencukupi kepada 98 peratus rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan luar bandar dengan bantuan pihak berkepentingan lain dan menubuhkan Pusat Bersepadu untuk Data Air, Penyelidikan dan Pembangunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, semua pihak mesti berganding bahu mengutamakan perlindungan alam sekitar, air dan tenaga, memandangkan Malaysia beralih ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.

"Dalam tempoh lima tahun akan datang, kerajaan akan menggunakan lima strategi iaitu memperkasakan rakyat sebagai pemacu transformasi sektor air, memperkukuh tadbir urus di peringkat Persekutuan; negeri dan daerah, meningkatkan keupayaan membuat keputusan berasaskan data, memastikan pembiayaan yang mampan dan membangunkan infrastruktur yang mampan dan kos efektif.

"Transformasi Sektor Air 2040 (WST 2040), agenda dua dekad yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, akan membolehkan sektor air menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan negara dan penciptaan kekayaan dengan menjadi hab industri air serantau,” katanya dalam ucapan perasmian pada webinar Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 6: Air Bersih dan Sanitasi pada Jumaat.

Webinar itu dianjurkan bersama Persatuan Air Malaysia dan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Mustapa berkata, di Malaysia, 96 peratus daripada jumlah penduduk mempunyai akses kepada air bersih dan terawat, manakala 85 peratus mempunyai akses kepada perkhidmatan pembetungan bersambung.

"Bagaimanapun, jurang perbezaan antara negeri kekal ketara kerana hanya 89 peratus penduduk di Sabah dan 73 peratus di Kelantan mempunyai akses kepada air bersih.

"Oleh itu meningkatkan akses kepada air bersih dan terawat, terutamanya di kawasan luar bandar dan terpencil di negara kita, adalah satu kemestian,” kata beliau.

Beliau turut menggariskan beberapa isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri air termasuk pengurusan sumber air yang lemah, yang menjejaskan bekalan dan kualiti air serta tarif di beberapa negeri yang tidak meliputi kos operasi dan air tidak terhasil (NRW).

Artikel Berkaitan:

"NRW adalah tinggi terutamanya di kawasan luar bandar. Kegagalan air yang dihasilkan sampai kepada pengguna yang dimaksudkan adalah disebabkan terutamanya oleh kebocoran daripada infrastruktur yang semakin tua, dan ini termasuk paip dan tangki,” katanya.

Mustapa berkata, kurang kesedaran tentang kepentingan sumber air dalam kalangan rakyat Malaysia turut menyumbang kepada masalah yang dihadapi negara hari ini.

"Tiada platform yang kukuh untuk penglibatan komuniti tempatan yang inklusif dalam tadbir urus air manakala kurangnya perhatian di sekeliling sektor air telah menyebabkan pembaziran yang tinggi.

"Selain itu, ketiadaan pembuatan keputusan berasaskan data dan sains juga menyumbang kepada pengurusan sektor air yang tidak cekap,” katanya. - Bernama